Taufan Jangmi badai Jepun, 23 cedera di 6 wilayah

Taufan Jangmi badai Jepun, 23 cedera di 6 wilayah

Taufan itu turut menjejaskan pengangkutan awam apabila Japan Airlines dan All Nippon Airways membatalkan semua penerbangan domestik waktu pagi di Lapangan Terbang Haneda.

Ombak besar di pesisir pantai Minamiboso, Wilayah Chiba selepas Taufan Jangmi melanda kawasan pesisir Pasifik di barat dan timur Jepun pada Rabu. (Gambar EPA Images)
TOKYO:
Taufan Jangmi melanda kawasan pesisir Pasifik di barat dan timur Jepun pada Rabu yang menyebabkan banjir, tanah runtuh serta mengakibatkan puluhan orang cedera, lapor Kyodo News.

Taufan itu membadai daratan kira-kira 4.30 pagi di bahagian selatan Wilayah Wakayama di barat Jepun, selepas melalui kawasan berhampiran Wilayah Okinawa dan Kagoshima dalam tempoh dua hari sebelumnya.

Pada satu ketika, agensi cuaca Jepun mengeluarkan amaran banjir tahap 5, tertinggi bagi Sungai Koza di Wakayama. Amaran itu menandakan keadaan mengancam nyawa dan orang ramai perlu segera mengambil langkah keselamatan.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana Jepun memaklumkan 23 orang dilaporkan cedera di enam wilayah, termasuk Wilayah Aichi dan Nara dengan 17 daripadanya di Okinawa, setakat 2 petang Rabu.

Walaupun Sungai Koza mula melimpahi tebing, amaran kecemasan banjir tahap 5 bagi sungai itu diturunkan pada 8.50 pagi, menurut Agensi Metereologi Jepun.

Di Wilayah Shizuoka, kejadian tanah runtuh berlaku kira-kira 11 pagi, menyebabkan lumpur menghalang landasan kereta api. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana perkhidmatan kereta api digantung lebih awal, menurut polis tempatan dan pengendali kereta api.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara, berkata kerajaan menerima laporan jalan raya ditenggelami air, pokok tumbang dan tanah runtuh di kawasan Kyushu hingga ke rantau Kanto yang merangkumi Tokyo susulan hujan lebat dibawa taufan itu.

Hujan lebat berterusan di kawasan metropolitan Tokyo pada waktu pagi menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran bahaya banjir bagi beberapa sungai di ibu negara.

Amaran itu menandakan penduduk di kawasan berisiko perlu bersedia untuk berpindah dan mungkin perlu berbuat demikian sebelum arahan rasmi pemindahan dikeluarkan.

Taufan keenam tahun ini turut menjejaskan pengangkutan awam apabila Japan Airlines dan All Nippon Airways membatalkan semua penerbangan domestik pada waktu pagi di Lapangan Terbang Haneda, selain beberapa penerbangan antarabangsa.

Beberapa perkhidmatan kereta api ekspres terhad JR yang menghubungkan kawasan Tokyo dengan wilayah lain turut digantung.

Menurut Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi, sebanyak 5,378 sekolah dan universiti di 23 daripada 47 wilayah Jepun ditutup sepanjang hari berikutan cuaca buruk.

Setakat 6 petang Rabu, taufan itu berada di Lautan Pasifik kira-kira 190km di timur Choshi dan bergerak ke arah timur laut pada kelajuan 50km sejam, menurut agensi cuaca Jepun. Taufan itu dijangka terus bergerak ke timur dan melemah menjadi sistem tekanan rendah ekstratropika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.