Banyak ‘cerita seram’ jenayah seks dalam penjara

Banyak ‘cerita seram’ jenayah seks dalam penjara

Peguam berkata banduan yang dianiayai banduan lain boleh menyaman pihak penjara, dan sudah tiba masanya sistem penjara Malaysia dirombak.

Penjara
PETALING JAYA: Kes seorang banduan di Melaka dipanjangkan tempoh hukumannya kerana jenayah seksual dalam penjara bukan sesuatu yang memeranjatkan, kata seorang peguam.

Peguam Baljit Sidhu berkata kes melibatkan banduan Ariff Amirrul Akmal Abu Bakar Lam, yang dijatuhkan hukuman 9 tahun merupakan antara “cerita seram” yang sering berlaku di sebalik tirai besi di Malaysia.

Semalam, Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka menjatuhkan hukuman 9 tahun dan 3 sebatan terhadap Ariff selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap rakan banduan lain berusia 19 tahun.

Ariff, 21, yang tidak diwakili peguam, hanya tinggal baki 3 minggu sahaja untuk dibebaskan, selepas menjalani hampir 3 tahun hukuman atas kesalahan mencuri.

Baljit, yang merupakan ahli jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam, berkata Jabatan Penjara bertanggungjawab memastikan keselamatan semua banduan di bawah jagaannya, termasuk tidak diserang oleh banduan lain atau mencederakan diri sendiri.

Menurutnya, banduan yang menjadi mangsa serangan seksual boleh menyaman kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan atas kegagalan memastikan keselamatan mereka sewaktu dalam tahanan.

Baljit berkata kes yang berlaku di Pusat Koreksional Jasin pada awal Januari itu menunjukkan sudah tiba masa sistem penjara di Malaysia dirombak.

“Pesuruhjaya Penjara perlu berbincang dengan badan bukan kerajaan dan Majlis Peguam ke arah menjadikan sistem penjara kita sama taraf dengan sistem penjara di Australia dan United Kingdom,” katanya.

Seorang lagi peguam, M Visvanathan berkata tanggungjawab pihak penjara sama dengan tanggungjawab polis memastikan orang kena tahan di lokap dalam keadaan selamat.

“Jika tidak, mengapa perlu mengerah pegawai sepanjang waktu siang dan malam dan memasang kamera litar tertutup bagi memantau pergerakan banduan?” soal beliau ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata pegawai dan warden penjara perlu diberikan tunjuk ajar mengenai hak asasi supaya mereka sedar banduan juga perlu dilayan secara bermaruah.

“Kursus sedemikian akan berkesan dalam mengurangkan kes kematian dalam tahanan dan juga mengelak daripada membayar pampasan disebabkan saman,” kata Visvanathan.

 

Seks dalam penjara, hukuman ditambah 9 tahun

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.