
Exco hal ehwal Islam negeri itu menyifatkan tuduhan Pemuda PAS berhubung kontrak Hassan tidak disambung kerana membantah arahan Lim Guan Eng adalah fitnah semata-mata dan tiada kaitan dengan isu pelantikan mufti Pulau Pinang.
“Sungguhpun kerajaan negeri yang membuat pelantikannya (mufti) untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, dakwaan mengatakan kerajaan negeri tidak menyambung kontrak Datuk Hassan Ahmad kerana beliau membantah fatwa perlu mendapatkan persetujuan kerajaan terlebih dahulu adalah fitnah,” katanya ketika dihubungi FMT.
Terdahulu, Setiausaha Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa kontrak Hassan tidak disambung pada Jun 2014 kerana beliau membantah arahan Guan Eng berhubung penggunaan kalimah Allah yang bertentangan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.
Bagaimanapun, Guan Eng hanya mengeluarkan kenyataan membenarkan orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah 6 bulan kemudian, iaitu pada Disember 2014.
Ketika ditanya alasan tidak menyambung kontrak Hassan, Malik berkata, ia tidak perlu dijadikan isu kerana kontrak itu tidak ditamatkan sebelum tempoh ditetapkan, sebaliknya ia tidak disambung selepas tamat tempoh.
Beliau turut meminta pihak yang meragui tindakan kerajaan Pulau Pinang supaya merujuk kenyataan terbaru dikeluarkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor.
Semalam, Wan Salim berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak campur tangan dalam hal berkaitan fatwa, sebaliknya ia dibawa ke majlis mesyuarat kerajaan negeri hanya untuk tujuan “pemberitahuan” sebelum dihantar ke pejabat penasihat undang-undang negeri untuk diperbaiki susunan ayatnya.
“Apabila mesyuarat Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa, maka ia terlebih dahulu dikemukakan ke dalam mesyuarat exco oleh setiausaha kerajaan negeri (SUK).
“Ia kemudian dihantar ke pejabat penasihat undang-undang negeri untuk diperbaiki susunan ayatnya dan selepas itu dihantar ke Istana Negara untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata Wan Salim.
PAS dakwa kontrak mufti tak disambung akibat bantah arahan Guan Eng