Zahid: Rakyat India di negara lain tak perlu visa ke Malaysia

Zahid: Rakyat India di negara lain tak perlu visa ke Malaysia

Zahid berkata, kelonggaran itu pasti menjadi daya penarik khususnya kepada kira-kira 500,000 rakyat India yang berada di Qatar sebagai ahli perniagaan, pengurusan profesional dan kumpulan teknikal untuk mengunjungi Malaysia selepas ini.

zahidhamidi-visa
DOHA: Warganegara India yang kini menetap di negara lain turut menikmati faedah pengecualian visa apabila melancong dan berkunjung ke Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, keputusan Kabinet untuk mengecualikan visa kepada pelancong dari India sebelum ini turut diberikan kepada rakyat negara itu yang menetap di luar India dalam usaha menggandakan jumlah kemasukan pelancong.

“Kita mengalu-alukan kedatangan mereka ke Malaysia sebagai pelancong. Ini akan memberikan sumbangan pendapatan tukaran asing kepada negara kita melalui peningkatan jumlah kemasukan pelancong,” katanya kepada wartawan Malaysia hari ini.

Zahid tiba di Qatar semalam bagi lawatan kerja 4 hari atas undangan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negerinya, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al Thani.

Zahid yang juga menteri dalam negeri bagaimanapun berkata, pengecualian itu tidak bermakna kerajaan melonggarkan tahap keselamatan, sebaliknya mereka perlu melalui tapisan keselamatan kemasukan melalui Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) di lapangan terbang atau pintu masuk negara.

Menurutnya, kelonggaran itu pasti menjadi daya penarik khususnya kepada kira-kira 500,000 rakyat India yang berada di Qatar sebagai ahli perniagaan, pengurusan profesional dan kumpulan teknikal untuk mengunjungi Malaysia selepas ini.

Zahid berkata, selaku pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan, antara misinya ke Qatar adalah untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia berikutan terdapat penurunan ketara bilangan pelancong sejak beberapa tahun lalu.

“Pada tahun lepas, cuma 5,000 pelancong sahaja dari Qatar direkodkan. Kita perlu tingkatkan usaha menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat melalui sokongan dan kerjasama syarikat dan ejen pelancongan,” katanya.

Zahid berkata, beliau juga berhasrat meningkatkan bilangan penerbangan dari rantau ini ke Malaysia yang juga menyaksikan penurunan akhir-akhir ini, melalui kerjasama syarikat dan ejen pengendalian pakej umrah.

“Ini saya akan bincang dengan syarikat dan ejen pakej umrah ketika berada di sini,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh kunjungannya ke Qatar, beliau juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan kepimpinan negara ini dalam usaha meningkatkan dagangan kedua-dua negara.

Katanya, dalam tempoh 2 tahun lalu, jumlah dagangan kedua-dua negara menyaksikan penyusutan yang antaranya berpunca daripada penurunan harga minyak dan gas sehingga menjejaskan kedua-dua negara.

“Saya berhasrat menterjemahkan komitmen yang dibuat sebelum ini bagi meletakkan semula Qatar sebagai sebuah negara yang mempunyai potensi amat penting kepada Malaysia,” katanya.

Zahid berkata. sehubungan itu, beberapa perjanjian yang masih di peringkat draf yang diusahakan majlis perniagaan kedua-dua negara akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Katanya, selain perjanjian melibatkan industri pelancongan dan pelaburan, perjanjian melibatkan pertukaran maklumat keselamatan, pertahanan dan pertukaran dan latihan pegawai juga akan dilaksanakan.

Beliau berkata, berikutan Qatar terpilih sebagai tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia Fifa 2022, syarikat dari Malaysia juga berpotensi terbabit dari sudut pembekalan barangan dan peralatan yang diperlukan Qatar bagi menjayakan temasya sukan berprestij itu.

Pada lawatan ini, Zahid menghadap Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan kemudiannya mengunjungi Sheikh Abdullah.

Lewat hari ini, beliau akan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di sebuah hotel di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.