Mara enggan dedah hasil siasatan kes Annuar Musa

Mara enggan dedah hasil siasatan kes Annuar Musa

Hasil siasatan dan keputusan mesyuarat akan diumumkan pada masa yang ditetapkan kemudian.

annuar-musa-MARA
KUALA LUMPUR:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) enggan mengulas hasil siasatan Mesyuarat Jawatankuasa Audit Dalaman agensi itu berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Tan Sri Annuar Musa.

Seorang pegawai Mara yang enggan dikenali berkata, hasil siasatan dan keputusan mesyuarat akan dimaklumkan kepada media pada masa yang akan ditentukan kemudian.

“Kepada rakan wartawan, Mara tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi hari ini. Pihak Mara akan menghubungi media sekiranya ada kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Annuar kini sedang digantung perkhidmatannya sebagai pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Berhad (PMB).

Penggantungan jawatan Annuar yang dibuat pada mesyuarat khas Ahli Majlis Mara minggu lepas, bagi membolehkan audit dalaman Mara menyiasat beberapa perkara, termasuk penajaan PMB dan UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

Pada masa sama, pengerusi sementara Mara, Datuk Dr Yusof Yacob berkata mesyuarat itu pertama kali diadakan, namun tidak memanggil Annuar yang kini sedang digantung bermula minggu lalu.

“Mesyuarat ini pertama kali diadakan dan Annuar tidak dipanggil (mesyuarat). Biar mereka buat kerja dahulu dan tak perlu publisiti.
“Kita tidak tahu berapa lama kerana banyak perkara perlu diproses dan ia untuk kebaikan Mara. Tugas kita adalah untuk memperbaiki apa yang tak betul,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Mara.

Yusof bagaimanapun enggan mendedahkan nama ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat itu malah mengakui dirinya tidak terlibat.

Beliau berkata terpulang kepada jawatankuasa itu sama ada akan memanggil Annuar atau tidak.

Sementara itu, Annuar ketika dihubungi memaklumkan tidak mengetahui mengenai mesyuarat audit dalaman Mara yang diadakan hari ini.

“Saya tidak tahu menahu (mesyuarat). Langsung tidak dipanggil atau dimaklumkan. Perlu tanya Mara,” katanya.

Mesyuarat itu bermula hari ini pada jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Mara.

Mara gantung Annuar Musa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.