Pawagam hanya dibenarkan di pinggir Shah Alam

Pawagam hanya dibenarkan di pinggir Shah Alam

Ahli Parlimen Shah Alam berkata Sultan Selangor tidak membantah pembukaan panggung wayang, selagi ia berada di luar ibu kota Shah Alam.

khalid-samad-pawagam
PETALING JAYA:
Semakin banyak permintaan untuk membuka pawagam di Shah Alam menyebabkan sesetengah pihak tertanya-tanya sama ada pihak berkuasa Selangor kini mula perlahan-lahan melakukan perubahan terhadap peraturan hiburan bagi membenarkan panggung wayang dibuka di ibu negeri itu.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata ia hanya perkara kecil membabitkan perbezaan dalam membuat keputusan oleh pemerintah pada masa ini dengan yang terdahulu di negeri itu.

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tidak membenarkan pusat hiburan di Shah Alam. Sultan Selangor sekarang, Sultan Sharafuddin Idris Shah nampak seperti tidak membantah pusat hiburan, asalkan ia terletak di pinggir kota Shah Alam.

“Jadi, walaupun Padang Jawa, Setia Alam dan Bukit Jelutong di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam, perintah Sultan Selangor sekarang ialah jika ia di pinggir ibu kota, maka ia ok,” katanya kepada FMT.

Pawagam pertama di Shah Alam, MCAT Box Office Cinemas di Space U8 Mall di Bukit Jelutong dibuka pada 2011. Ia disusuli dengan Golden Screen Cinemas di Setia City Mall, Setia Alam pada 2012 dan tahun lalu, TSR Cinemax yang terletak di antara Persiaran Selangor dan Jalan Padang Jawa dibuka.

Ketika ditanya pendapatnya mengenai perkara itu, Khalid berkata beliau bukan penyokong outlet hiburan dan bukan juga “pembantah tegar” pusat seumpama itu.

“Shah Alam bandar pelbagai bangsa dan kita ada penduduk bukan Islam yang mahu sedikit bentuk hiburan. Jika mereka boleh berkelakuan baik, jadi saya tidak nampak mengapa orang Melayu pun tidak boleh bersikap begitu.

“Jika orang hendak buat benda jagat, mereka boleh buat juga walaupun tidak ada pawagam. Jadi kita tidak perlu ada terlalu banyak cara pentadbiran seperti gaya Taliban.

“Apa yang penting, saya rasa pusat hiburan itu mengekalkan suasana kekeluargaan dan penduduk Shah Alam menjaga kesopanan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.