Hampir 6,000 majikan gagal carum KWSP tepat masa

Hampir 6,000 majikan gagal carum KWSP tepat masa

KWSP berkata ini kerana majikan meletakkan keutamaan lain seperti pembayaran gaji pekerja sebelum membuat bayaran caruman berkenaan.

EPF
PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) berkata 5,913 majikan di seluruh negara gagal membayar caruman untuk pekerja, tepat setiap bulan pada tahun lalu.

Dalam satu kenyataan kepada FMT, KWSP berkata daripada jumlah itu, seramai 5,132 majikan dikenakan tindakan di mahkamah atas pendakwaan jenayah dan 3,119 berdepan tindakan sivil pada tahun lalu.

“Secara keseluruhan KWSP menerima 6,306 aduan daripada pengadu melibatkan 4,387 majikan,” kata KWSP menerusi emel kepada FMT.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP Balqais Yusoff pada tahun lalu berkata hanya 22% daripada 6.7 juta pencarum aktif KWSP yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan sebanyak RM196,800 atau lebih.

Manakala, 78% pencarum lagi tidak mempunyai asas caruman mencukupi untuk tempoh persaraan mereka.

KWSP bagaimanapun berkata bukan satu kebiasaan kepada majikan ketika ini untuk lewat membayar caruman kepada pekerja malah statistiknya juga rendah.

“Tidak menjadi satu kebiasaan kerana data statistik setakat 20 Januari lalu, menunjukkan kadar majikan yang gagal mencarum ialah 1.05% daripada jumlah keseluruhan 564,286,” katanya.

Agensi itu bagaimanapun berkata dalam situasi ekonomi Malaysia yang semakin mencabar pada hari ini, KWSP mengingatkan pekerja agar tidak bimbang dengan perkara ini.

“Jumlah bilangan kes aduan tidak membimbangkan. Ini kerana KWSP melakukan penguatkuasaan di mana kes aduan setakat Januari 2017 hanya 0.5% daripada jumlah majikan keseluruhan.

“Jika dibandingkan dengan jumlah ahli, bilangan aduan yang diterima hanya 0.09% daripada 6.9 juta ahli aktif atau 0.04% daripada 14.8 juta keseluruhan ahli,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan majikan gagal membayar caruman kerana masalah kewangan dan faktor luar seperti keadaan ekonomi yang kurang menentu.

“Kadangkala majikan juga meletakkan keutamaan lain seperti pembayaran gaji pekerja, bayaran kepada pembekal atau bil utiliti sebelum membuat bayaran caruman KWSP,” katanya.

Katanya, walaupun peratusan aduan itu rendah, KWSP sentiasa mengambil langkah proaktif dengan penyelesaian segera diambil terhadap aduan yang dilaporkan.

“Majikan yang ingkar dan terus tidak membayar caruman kepada pekerja akan dikenakan tindakan pendakwaan dan guaman sivil berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

 

Hanya 22% pencarum ada simpanan KWSP tampung hidup

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.