Jaminan ‘tak paksa’ sokong usul Hadi tiada makna, kata Amanah

Jaminan ‘tak paksa’ sokong usul Hadi tiada makna, kata Amanah

Khalid Samad mempersoalkan jaminan PAS itu dengan berkata hujah wajib sokong sudah memadai sebagai usaha menakut-nakutkan semua umat Islam.

Khalid-Samad_law_600
SHAH ALAM:
Amanah mempersoalkan jaminan PAS baru-baru ini yang parti itu tidak akan menakut-nakutkan wakil rakyat Islam untuk menyokong rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 apabila dibawa untuk pengundian di Dewan Rakyat kelak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata usaha menakut-nakut menggunakan sentimen agama sudah pun dilakukan dengan cara lain.

“Sekiranya mereka katakan seseorang Islam wajib menyokong pindaan itu dan mempertikaikan keimanan umat Islam yang tidak menyokong pindaan itu, maka ia merupakan satu bentuk intimidasi, tidak kira seseorang itu wakil rakyat atau tidak,” kata bekas pemimpin PAS yang kini pengarah komunikasi Amanah, kepada FMT.

Sabtu lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memberi jaminan yang ahli Parlimen Islam daripada parti lain tidak akan ditakut-takutkan atau dipaksa mengundi RUU yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Fadzli menolak dakwaan yang wakil rakyat Islam yang tidak menyokong RUU itu diancam dengan stigma sosial.

“Mereka sepatutnya mengundi memihak kepada (RUU 355), tetapi kita tidak boleh memaksa mereka. Kami mempunyai demokrasi, Parlimen, kebebasan memilih dan sebagainya. Kami hormatinya,” katanya selepas forum bertajuk “Hudud atau tiada hudud?” di George Town.

RUU 355 Hadi dijangka dibentangkan untuk undian apabila Parlimen bersidang semula bulan depan.

Pada 7 April 2015, Hadi dilaporkan berkata, umat Islam sama ada daripada PAS, Barisan Nasional atau parti pembangkang lain, mempunyai kewajipan menyokong RUU 355.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Mengulas lanjut mengenai RUU itu, Khalid berkata sistem keadilan mahkamah syariah tidak seharusnya mementingkan hukuman lebih berat, sebaliknya perlu melihat proses keadilan keseluruhannya.

Menurutnya, antara masalah mahkamah syariah adalah wujud hakim yang mudah menjatuhkan hukum, undang-undang yang samar-samar, tidak menghormati privasi dan tidak hormat hak-hak asasi manusia.

“Untuk memastikan mahkamah itu adil, pastikan semua hakim terlatih barulah keadilan itu wujud.

“Perbetulkan dahulu kelemahan sistem, barulah boleh bercakap mengenai meningkatkan proses hukuman” katanya kepada FMT.

Beliau memberi contoh kes melibatkan dirinya kerana berceramah tanpa tauliah, di mana beliau didenda RM2,900 oleh Mahkamah Syariah.

“Saya didenda RM2,900 kerana berceramah mengenai Gaza, di mana denda maksimumnya ialah RM3,000.”

Pada 19 Jan, Khalid didenda sebagai ganti penjara 3 bulan, selepas didapati bersalah pada Disember lalu kerana memberi ucapan di sebuah surau di Kapar 6 tahun lalu.

Beliau juga memberi contoh kes pasangan suami isteri yang ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Mereka mengambil gambar separuh bogel si isteri dan enggan menerima penjelasan pasangan itu. Apakah ini Islam?” soal Khalid.

“Semua ini perlu diperbetulkan dulu, barulah boleh berbicara soal meningkatkan hukuman.”

Kami tak paksa ahli Parlimen Islam undi RUU Hadi, kata PAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.