
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah pun memulakan siasatan sebaik mengetahui isu tersebut satu setengah bulan yang lepas.
“Individu yang terlibat telah pun dipanggil untuk memberi penjelasan,” kata beliau kepada wartawan di Shah Alam hari ini.
Mengikut laporan Star Online, Azmin memberitahu yang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sedang membincangkan hasil siasatan sebelum mengambil tindakan seterusnya.
Bagaimanapun Azmin berkata, siasatan itu tidak dijalankan kerana pendedahan dibuat oleh Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mempertikaikan alasan di sebalik pelantikan seorang berstatus muflis mengetuai sebuah yayasan di Selangor.
Azmin berkata: “Ini bukan kerana Jamal. Beliau hanya mengetahui perkara ini beberapa hari yang lepas, tetapi kami sudah tahu lebih sebulan yang lepas.”
“Kami tidak boleh mendedahkan hasil siasatan kerana setiausaha kerajaan negeri masih melihat (perkara ini).”
Baru-baru ini, Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar menuntut Azmin menjelaskan kedudukan Kamsani sebagai Pengerusi Yawas.
Azmin adalah pengerusi pemegang amanah yayasan berkenaan.
“Menteri besar sebagai Pengerusi Yawas perlu jelaskan bagaimana seorang pengurus besar yang telah disytihar muflis (boleh) dilantik untuk menguruskan dana yayasan yang berjumlah ratusan juta ringgit setahun,” kata beliau.