
Kim Jong Nam dibunuh 13 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Polis percaya beliau diserang 2 wanita yang mengenakan VX pada mukanya, kimia yang dikelaskan PBB sebagai senjata pemusnah.
Beliau merancang untuk pulang ke Macau. Cerita itu mendapat liputan meluas media China, walaupun Beijing, yang mempunyai hubungan rapat dengan Pyongyang, tidak mengeluarkan banyak kenyataan mengenainya.
Perwakilan Macau ke sidang tahunan parlimen China berkata mereka hanya tahu sedikit atau tidak tahu mengenai kes itu, dan enggan memberitahu sama ada keluarga Jong Nam masih berada di Macau atau di bawah perlindungan polis, menunjukkan sensitiviti kes itu.
Ditanya hari ini mengenai keluarga Jong Nam, Jose Chui, sepupu kepada Ketua Eksekutif Macau Fernando Chui, pada mulanya berkata beliau tidak faham soalan yang ditanyakan dan kemudian beransur pergi.
Ditanya kemudian dalam bahasa Inggeris sama ada keluarga Jong Nam masih berada di Macau, Jose menjawab: “Saya tak tahu”.
“Saya ada terbaca mengenainya di akhbar, tetapi tiada maklumat daripada sumber saya. Saya rasa saya tidak boleh berikan kamu sebarang butiran.”
Liu Bo, presiden akhbar Macao Daily News pada awalnya berkata beliau tidak tahu apa pun mengenai kes itu. Ditanya lagi, beliau berkata: “Saya tidak berminat dengan isu itu.”
Lionel Leong, setiausaha ekonomi dan kewangan Macau, enggan mengulas.
Macau, seperti wilayah Hong Kong yang berjiran dengannya, menghantar perwakilan ke sidang tahunan parlimen China, yang bersidang hari ini. Beijing memilih perwakilan dengan cermat.
Sebelum dibunuh di Malaysia, Jong Nam tinggal di hab perjudian Macau, mengelak daripada mencetuskan kontroversi dan tidak terlalu risaukan keselamatan peribadinya, menurut sumber yang rapat dengan si mati.
Sumber kerajaan AS dan Korea Selatan percaya abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un itu dibunuh ejen Korea Utara.
Di sebalik hubungan baik antara China dan Korea Utara, ujian nuklear dan peluru berpandu Pyongyang mengundang kemarahan Beijing.