Muktamar PAS ke-63 platform catur strategi PRU14

Muktamar PAS ke-63 platform catur strategi PRU14

Muktamar yang diadakan di Kedah dijangka dihadiri 1,200 perwakilan dan dikatakan medan terbaik meniup semangat dan motivasi ahli menjelang PRU14.

pas
ALOR SETAR:
Muktamar PAS ke-63 yang bakal berlangsung di Kedah pada penghujung April akan menjadi platform penting mencatur strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Bakal dihadiri kira-kira 1,200 perwakilan, beliau berkata muktamar itu merupakan medan terbaik meniupkan semangat dan motivasi untuk ahli bekerja keras menghadapi PRU14 khususnya dalam usaha merampas semula negeri tertentu termasuk Kedah.

“Antara topik menarik yang akan dibahaskan perwakilan ialah persediaan negeri tertentu untuk ditadbir oleh PAS jika diberikan kepercayaan dan mandat oleh rakyat termasuklah di negeri Kedah,” katanya.

Muktamar PAS akan berlangsung dari 27 April hingga 1 Mei.

Tarikh ditetapkan untuk Muktamar Dewan Ulama adalah 28 April di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop, Muktamar Dewan Pemuda pada 27 hingga 28 April di Kompleks PAS Kedah dan Muktamar Dewan Muslimat juga pada 27 hingga 28 April di Pusat Pengajian Darul Hadis, Kampung Tok Keling di sini.

Fakhruddin berkata PAS Kedah sebagai negeri yang mempunyai jumlah ahli tertinggi iaitu 176,000, berhasrat menawan kembali Kedah dan menyifatkan PAS negeri sudah bersedia menerima mandat daripada rakyat untuk mentadbir semula Kedah.

“PAS bersedia memikul tanggungjawab sebagai ‘government in waiting’ dalam PRU akan datang jadi segala persiapan kita rangka akan diterjemahkan mengikut masa tertentu.

“Sebagai tuan rumah muktamar, kita cuba untuk memperlihatkan kepada rakyat yang Kedah boleh menyatukan semua ahli PAS di Kedah dan sebarang kata-kata yang boleh menggugat PAS tidak akan berlaku,” katanya.

Katanya, agenda muktamar tertumpu kepada pemilihan parti, dijangka PAS akan mendapat kepimpinan baharu selewatnya 30 April ini melalui kaedah pemilihan secara “e-voting”.

Bagi pemilihan di peringkat pusat, ia melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, 3 naib presiden dan 18 ahli jawatankuasa, manakala bagi peringkat sayap, ia melibatan ketua, timbalan dan naib.

Ditanya kemungkinan wujud golongan kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam pemilihan parti dan seterusnya beralih arah ke parti serpihan PAS iaitu Amanah, beliau yakin perkara itu tidak akan timbul.

“Sekarang ini tidak timbul isu itu dalam PAS, semua jadi satu aliran pemikiran dan keutamaan kita membentuk politik Islam yang nak diterjemahkan dalam bentuk praktikal,” katanya.

Berhubung isu kerjasama politik bersama Umno, Fakhruddin berkata parti sebelum ini sudah pun menegaskan tiada hubungan politik bersama Umno dan yakin agenda itu tidak akan dibangkitkan perwakilan.

“Begitu juga dengan DAP dan Amanah, hubungan politik tidak ada dengan parti tersebut.

“Kalau Parti Pribumi Bersatu Malaysia saya difahamkan PAS mengadakan hubungan dalam bentuk program namun belum sampai memutuskan hubungan dalam bentuk politik kerana masih dalam rundingan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.