
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Najib perlu membuktikan kenyataan itu dengan memulihkan wang royalti minyak kepada Kelantan, di samping memansuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri itu yang melaksanakan projek kerajaan pusat tanpa melalui kerajaan negeri.
“Kita lihat perkembangan, dan kalau perdana menteri kata dia berbeza daripada perdana menteri lain, kena buktikan kenyataan itu,” kata Takiyuddin.
Sabtu lepas, Najib ketika melawat Kelantan berkata beliau mengamalkan dasar berbeza daripada pentadbiran sebelum ini, dilihat merujuk kepada era Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tidak macam ada pendahulu saya dahulu. Potong peruntukan untuk Kelantan kerana politik, kerana tak suka (PAS). Tapi (di bawah pentadbiran) saya, saya tambah peruntukan untuk Kelantan,” katanya.
Takiyuddin berkata, wujudnya JPP memberi gambaran seolah-olah kerajaan Kelantan tidak diiktiraf sebagai kerajaan negeri.
“Kita banyak isu yang belum selesai di Kelantan. Setiap orang berbeza pendekatan. Jadi selesaikan isu itu dahulu, barulah kita bercakap isu lain,” katanya.
JPP mengambil alih tugas dan peranan Pejabat Kemajuan Negeri Kelantan dan menyelaras serta memantau pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di Kelantan.
JPP diwujudkan bertujuan untuk memastikan kawalan rapi ke atas projek persekutuan.