3 memo kepada PM tak terjawab, teksi demo lagi, temui pembangkang

3 memo kepada PM tak terjawab, teksi demo lagi, temui pembangkang

Pemandu teksi sudah 3 kali menghantar memorandum ke pejabat perdana menteri berkenaan isu itu tetapi hingga sekarang tiada jawapan

uber-grab-teksi
KUALA LUMPUR:
Pengusaha dan pemandu teksi sekali lagi berhimpun membantah perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan Grab, kali ini di Parlimen selepas 3 memorandum kepada perdana menteri tidak terjawab.

Kira-kira 200 orang pemandu menunjuk perasaan hari ini, memenuhi laluan pejalan di kiri dan kanan jambatan menuju ke pintu gerbang Parlimen, yang boleh disaksikan dari bangunan menara yang menempatkan pejabat perdana menteri, timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang.

Undang-undang berkaitan perkhidmatan perkongsian kenderaan – di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 714) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) – dijangka dibentangkan tahun ini.

“Dalam akta tersebut menyebut mana-mana kenderaan yang tidak mempunyai lesen pengendali tidak boleh beroperasi sebagai kenderaan pengangkutan awam,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin.

“Kenapa kerajaan membiarkan perkara ini berlaku?” tambahnya. “Seandainya undang-undang negara dipatuhi, saya yakin masalah ini tidak akan timbul.”

Pada perhimpunan ini, mereka menyerahkan memorandum yang pernah dimaksudkan untuk perdana menteri kepada Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli, yang juga aktivis anti-rasuah; Abdullah Sani, yang juga aktivis buruh dan Tian Chua, serta kepada Ahli Parlimen PAS Idris Ahmad.

Tunjuk perasaan hari ini merupakan yang ke-2 selepas demo yang lebih kecil pada November 2015, di Padang Merbok, ibu negara.

Perhimpunan ini mendesak syarikat perkongsian kenderaan seperti Uber, yang dilaporkan mendapat sokongan kerajaan melalui pelaburan Khazanah Nasional Berhad (RM217.85 billion) dan Kumpulan Wang Persaraan (RM124.2 juta), dan Grab.

Mereka mendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak tegas menangani isu ‘teksi sapu’, yang menjejaskan pendapatan para pemandu teksi.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk “PRU-13 teksi kena tipu, PRU-14 siapa kena” dan “Laksanakanlah Akta 334 Akta 714”. Mereka bersurai pada 11.30 pagi, 1 setengah jam selepas berhimpun dengan aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.