Guan Eng bandingkan Nazri dengan Rahman Dahlan

Guan Eng bandingkan Nazri dengan Rahman Dahlan

Setiausaha agung DAP itu berkata Nazri membuktikan masih ada pahlawan dalam Kabinet.

lim-guang-eng-rahman-dahlan-nazri
GEORGE TOWN:
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata debat antara menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad wajar dibenarkan.

Guan Eng menyifatkan Nazri sebagai seorang yang berani berdepan Dr Mahathir, “tidak seperti seorang menteri ‘ayam'”.

“Debat wajar dibenarkan kerana ia membantu perbincangan, seperti yang Nazri sebutkan sebelum ini. Dia berani berdebat dengan Dr Mahathir, dia bukan Abdul Rahman Dahlan.

“Lagipun, tak semua menteri seperti Rahman, yang mencabar saya berdebat dan kemudian menarik diri.

“Nazri buktikan masih ada pahlawan dalam Kabinet,” kata Guan Eng pada sidang media di Komtar hari ini.

Guan Eng diminta mengulas pembatalan debat antara Nazri dan Dr Mahathir, yang sepatutnya berlangsung di MRSM Kuala Kangsar, Perak selepas permohonan penganjuran ditolak polis.

Rahman pernah mencabar Guan Eng untuk berdebat mengenai sebidang tanah yang diperuntukkan untuk perumahan tetapi membatalkannya selepas dinasihatkan ketua polis negara.

Selepas polis menolak permohonan penganjur, Nazri mencadangkan debat diadakan di ibu pejabat Sinar Harian di Shah Alam, pada 7 April ini.

Ketika ditanya siapa yang akan disokong, memandangkan beliau mempunyai hubungan baik dengan Nazri dan Dr Mahathir, Guan Eng akan menyokong sesiapa sahaja daripada Pakatan Harapan.

“Nazri akan serang saya, kerana dia dari pihak sana. Saya akan sokong Pakatan Harapan, Nazri akan sokong Perdana Menteri (Datuk Seri) Nazri Aziz,” katanya.

Debat menjadi perbualan selepas Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mencabar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berdebat isu politik dan ekonomi yang melanda negara.

Beliau secara khusus menyebutkan topik 1Malaysia Development Berhad, skandal Bumiputera Malaysia Finance dan deposit RM2.6 bilioon dalam akaun bank Najib.

Dr Mahathir, 91, beri jaminan ia akan diadakan dalam suasana aman.

Mereka bertikam lidah apabila Nazri, selepas mengetahui Dr Mahathir dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun ke Padang Rengas pada 25 Mac dalam jelajah parti mereka, mencabar salah seorang dari mereka bertanding di Parlimen itu.

Dr Mahathir menyifatkan cabaran itu sia-sia, kerana Nazri tahu beliau tidak berniat bertanding dalam pilihan raya akan datang. Beliau juga mencabar Nazri bertanding di Langkawi memandangkan Dr Mahathir ketua parti kawasan di situ.

Akhirnya ia membawa kepada pembantu Dr Mahathir pada 10 Mac memberitahu FMT bekas perdana menteri mengesahkan keinginan berdebat dengan Nazri mengenai beberapa isu penting.

Minggu lepas, polis memberi amaran debat terbuka boleh dianggap perhimpunan haram kalau ia tidak mempunyai permit di bawah Akta Perhimpunan Aman, walaupun diadakan dalam premis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.