
Kata beliau, perkara itu perlu diberi pertimbangan mendalam memandangkan timbalan menteri dalam negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed sendiri baru-baru ini memberitahu terdapat sejumlah anggota polis bergaji rendah yang terpaksa menanggung hutang yang tinggi.
Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Polis ke-210 hari ini, Wan Azizah berkata, pihak kerajaan perlu memastikan kebajikan anggota PDRM dan keluarga bukan sahaja dijaga tetapi turut dipertingkat.
“Ini termasuklah dengan memastikan peruntukan asas seperti untuk peralatan pejabat mencukupi agar anggota PDRM tidak perlu membeli dengan gaji sendiri, serta memastikan tahap tempat tinggal bagi kesemua anggota PDRM terutama yang berpangkat rendah dapat ditambah baik.”
Baru-baru ini, FMT membawa laporan memetik Nur Jazlan sebagai berkata, tindakan drastik boleh diambil ke atas anggota polis yang tidak menguruskan hutang mereka dengan baik.
Nur Jazlan berkata, anggota polis yang gaji boleh dibawa balik di bawah 40% daripada gaji bulanan sedang dipantau dengan rapi memandangkan kajian menunjukkan mereka yang berhadapan dengan kekangan kewangan mempunyai risiko terlibat dalam rasuah.
Katanya, PDRM sedang memandang anggotanya meskipun masalah sedemikian belum mencapai tahap yang serius.
Dalam pada itu, Wan Azizah meminta kerajaan menyegerakan proses konsultasi awam melibatkan semua pihak termasuk pembangkang menjurus ke arah penggubalan satu undang-undang yang mampu mempertingkatkan penjagaan kebajikan pesara dan bekas anggota PDRM.
Mengikut laporan media 7 Februari 2014, kata beliau, kerajaan dikatakan sedang mengkaji satu akta baharu untuk menjaga hal ehwal pesara dan bekas polis dengan lebih baik serta tersusun.
“Namun hingga ke hari ini kita belum mendengar status draf tersebut. Saya menggesa pihak kerajaan untuk menyegerakan proses konsultasi awam yang melibatkan semua pihak termasuk pembangkang.”