Najib dengar kisah malang mangsa culik Abu Sayyaf

Najib dengar kisah malang mangsa culik Abu Sayyaf

Perdana menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama 3 mangsa tersebut yang turut disertai ahli keluarga mereka di kediaman Putrajaya kira-kira 8.15 pagi tadi.

najib-abu-sayyaf
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini meluangkan masa menemui 3 mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf yang baru dibebaskan selepas ditahan kumpulan itu, Julai lepas.

Najib meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama 3 mangsa tersebut yang turut disertai ahli keluarga mereka di kediaman perdana menteri di sini kira-kira 8.15 pagi tadi.

Tiga warga Malaysia itu Jumadil Rahim, 24; Mohd Ridzuan Ismail, 33, dan Fandy Bakran, 27, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di kawasan umum Punay (Publicion) Panglima Estino, Filipina pada 11.30 malam Ahad.

Turut hadir Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang turut menyertai sesi perbualan, bersarapan pagi dan mendengar kisah mangsa yang menceritakan kembali detik malang insiden penculikan tersebut.

Suasana pilu turut dirasai apabila ketiga-tiga mangsa, yang merupakan nelayan, dipertemukan dengan ahli keluarga masing-masing.

Semua ahli keluarga pula tidak dapat menahan tangisan apabila dapat memeluk erat mangsa setelah lebih 8 bulan ditahan pengganas tersebut.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan 3 mangsa culik warganegara Malaysia diselamatkan Joint Task Force Sulu semasa menjalankan operasi ketenteraan bersepadu di Sulu pada 26 Mac lalu.

Ketiga-tiga mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 8 malam, semalam.

Pada Isnin lepas, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut bertemu dan mendengar sendiri cerita 2 lagi nelayan yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63.

Pada 18 Julai lepas, kelima-lima mereka diculik kumpulan militan itu dan kapal tunda Serudong 3 yang mereka naiki ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven, Lahad Datu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.