Ramalan, amaran Nik Aziz jadi kenyataan, kata wakil rakyat Amanah

Ramalan, amaran Nik Aziz jadi kenyataan, kata wakil rakyat Amanah

Datuk Raja Kamarul Baharin Shah berkata ramalan kemungkinan PAS bakal dipermainkan Umno dalam isu RUU 355 kini menjadi realiti.

Raja-Kamarul-Bahrin_Nik-Aziz_pas_600
KUALA LUMPUR:
Amaran bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar PAS “tidak jatuh lubang sama 2 kali” kini akhirnya benar-benar terjadi, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Baharin Shah.

Pengerusi Amanah Terengganu itu memetik kata-kata tokoh PAS itu berkenaan sejarah panjang hubungan parti itu dengan BN, memandangkan PAS pernah menyertai BN pada era 1970-an.

Keputusan PAS itu membuatkan parti itu berpecah dan mendapat keputusan yang teruk dalam Pilihan Raya Umum 1978, setahun selepas keluar daripada BN.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Parlimen selaras dengan dasar dan amalan konsensus.

“Pesanan Nik Aziz agar kita tidak jatuh lubang sama 2 kali.

“Kini jika ingin mengatakan PAS dipermainkan Umno, ia jadi realiti. Persoalannya mengapa mereka (PAS) benarkan ini berlaku?,” kata Raja Bahrin ketika ditemui di Dewan Rakyat.

“Ketika masih dalam parti lama, kita sudah pesan agar berhati-hati. Bukan tidak bersetuju, tetapi buatlah secara teratur,” katanya.

Beberapa pemimpin PAS hari ini antaranya Siti Zailah Yusoff dan Idris Ahmad berkata parti itu akan tetap konsisten memperjuangkan RUU 355.

Berikutan perkembangan terbaru itu, Raja Baharin berkata isu itu menjadi “semakin kabur”.

“Kini pihak yang menjuarai isu ini tidak ingin mengambil tanggungjawab. Dulu sudah dibentangkan 2 kali, tetapi tidak mahu bahas.

“Dan orang ramai semakin keliru dengan situasi ini yang nampaknya terumbang-ambing,” katanya.

RUU itu dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awangpada Mei 2016. Pada November, Hadi dalam pindaan RUU itu mencadangkan hukuman di mahkamah syariah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda hingga RM100,000 dan 100 sebatan.

Pada masa ini, hukuman jenayah syariah terhad pada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 5 sebatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.