Tiada layanan istimewa untuk Zakir Naik, kata ketua polis

khalid-bakar,zakir

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak termasuk pendakwah kontroversi India, Dr Zakir Naik akan diambil tindakan jika melanggar undang-undang negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Sesiapa sahaja yang berada di dalam negara kena patuhi undang-undang, patuhi undang-undang di mana negara anda duduk adalah perkara asas,” katanya di sebalik tindakan pihak berkuasa India yang mengeluarkan waran tangkap ke atas Zakir.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Zakir diberikan status penduduk tetap di Malaysia sejak 5 tahun lalu.

“Penduduk tetap atau warga asing yang masuk ke dalam negara harus mematuhi peraturan Malaysia,” kata Khalid.

Khalid berkata, polis Malaysia masih tidak menerima sebarang notis dari Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) berhubung notis Interpol terhadap Zakir.

“Tidak ada notis dari NIA terhadap Zakir Naik setakat ini. Saya juga dimaklumkan NIA hendak mohon ‘red alert’, tetapi biarlah dia mohon dahulu. Saya tidak mahu terlalu awal lakukan keputusan,” katanya.

Zakir, penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 2013, dituduh terlibat dalam pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas.

Kehadiran Zakir di negara ini dibantah beberapa pihak, termasuk pertubuhan bukan Islam yang tidak menyenangi ucapan beliau yang menurut mereka mengganggu keharmonian antara penganut agama negara ini.

Zakir merupakan pengasas badan dakwah Yayasan Penyelidikan Islam (IRF), dan kerap berkunjung ke Malaysia dan Indonesia dalam siri jelajah ceramah.

Beliau dilaporkan diharamkan memasuki United Kingdom dan Kanada.

Sabtu lepas, Zakir dalam satu program dianjurkan kumpulan Perkasa mendakwa beliau akan diseksa jika pulang ke India, sebaliknya berkata pihak berkuasa negara itu perlu menyoal siasat beliau menerusi Skype dan kaedah tele-sidang.

Zakir Naik dapat status PR sebelum saya di KDN, kata Zahid

Jika ke India saya akan diseksa, dakwa Zakir