Terengganu perluas Kempen Solat Subuh kukuh ukhwah Islamiyah

Terengganu perluas Kempen Solat Subuh kukuh ukhwah Islamiyah

Kempen ini akan dimulakan di daerah Hulu Terengganu dan bakal diteruskan setiap minggu ke semua daerah di seluruh negeri.

ghazali-taib-solat-jumaat
HULU TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu optimis melaksanakan Kempen Solat Subuh dan Solat Dhuha Perdana secara berjemaah di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, kempen ini merupakan cetusan idea kerajaan negeri dan mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Kempen ini akan dimulakan di daerah Hulu Terengganu di sini dan bakal diteruskan setiap minggu ke semua daerah di seluruh negeri.

“Solat berjemaah antara indikator utama dalam mengukuhkan perpaduan dan ukhwah Islamiyah umat islam di negeri ini. Secara tidak langsung kita dapat bersua muka walaupun sebentar sebelum memulakan tugasan harian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program tersebut di sini, hari ini.

Terdahulu, solat berjemaah tersebut yang dipimpin Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohd Zulkifli Muda disertai 500 jemaah di Masjid Hadhari Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Tok Randok, Hulu Terengganu.

Seorang jemaah, Makmun Abdullah Amin, 41, berkata, ia kempen yang sangat baik dan harus dipraktik oleh semua pihak.

“Sebelum memulakan hari, eloknya adalah solat berjemaah begini. Kadangkala kita tidak sempat berjumpa jiran tetangga akibat kekangan kerja dan dengan kempen begini secara tidak langsung kita boleh bertanya khabar sebentar sebelum memulakan hari baru.

“Apa yang bagus, selesai solat, diadakan pula kuliah subuh yang mana ia bukan memfokuskan tentang rohani sahaja tetapi juga turut dimuatkan mengenai kehidupan seharian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.