
Beliau berkata GST yang diperkenalkan kerajaan adalah sistem percukaian paling adil yang diamalkan banyak negara bagi mengutip hasil secara mampan.
“GST ini sekurang-kurangnya mengurangkan kebocoran (ketirisan) walaupun pada permulaan pelaksanaannya ada masalah yang timbul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program i-Move kerajaan negeri hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar 2 hari lepas yang menyatakan GST akan dikekalkan sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih kuasa.
Mohamed Khaled berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana pembangkang tidak pernah konsisten dalam kenyataan mereka demi kepentingan agenda mereka, sedangkan mereka sebelum ini membantah GST.
“Saya ingat ia bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana pembangkang suka hendak membawa persepsi untuk rakyat terus menghukum.
“… tetapi nanti, apabila ada apa-apa kes dan pergi ke mahkamah untuk dibicarakan, baru kita tahu benda yang sebenarnya tetapi rakyat terpengaruh dengan persepsi yang dibawa pembangkang,” katanya.