Kes pukul dekat surau bukti toleransi rapuh, kata Nur Jazlan, PAS

nurjazlan-pukul-masjidPETALING JAYA: Kejadian seorang lelaki dipukul gara-gara membunyikan hon kenderaan ketika solat Jumaat sedang berlangsung di sebuah surau di Johor Bahru semalam, membuktikan secara jelas betapa rapuhnya sikap toleransi dalam kalangan masyarakat negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, masyarakat sepatutnya menjadikan peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 sebagai iktibar untuk tidak mengulangi mana-mana kesilapan berkaitan toleransi termasuk mencetuskan insiden terbabit.

“Isu ini tidak akan berlaku jika ada sifat toleransi dan faham-memahami dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda.

“Selain itu, pembangkang sering mengatakan ‘jangan cuba menakut-nakutkan rakyat dengan pertelingkahan kaum’, tetapi apa yang kita lihat semalam menunjukkan perkara itu mudah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkenaan pada perasmian Hari Perayaan Bulan Sabit Merah di Dewan Bangunan Bulan Sabit Merah Cabang Johor Bahru di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Nur Jazlan berkata, pihaknya berharap orang ramai akan mengutamakan sikap toleransi selepas ini demi memastikan negara bebas daripada pertelingkahan kaum dan agama yang boleh membawa kekacauan.

Dalam kejadian semalam, lelaki itu yang merupakan seorang jurutera berusia 28 tahun luka di kepala dan badan akibat dibelasah di depan sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru.

Kejadian dipercayai berpunca daripada kesesakan lalu lintas di kawasan itu sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan mangsa lalu mengakibatkannya membunyikan hon.

Tindakan itu, bagaimanapun mengundang kemarahan sekumpulan lelaki dipercayai jemaah yang kemudian bertindak merusuh dan memukul mangsa.

Kejadian sempat dirakamkan orang awam dan videonya menjadi tular di laman sosial.

Dalam pada itu, PAS Johor yang menyesal dengan tindakan tersebut menasihatkan semua lapisan masyarakat mengamalkan sikap bertoleransi.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, PAS Johor berkata, kejadiaan itu menunjukkan kegagalan sistem nilai dan toleransi masyarakat secara keseluruhannya.

Justeru, parti itu berharap semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa atau agama untuk kembali kepada sikap bertoleransi.

“Hormatilah semua amalan agama-agama yang ada di Malaysia ini supaya kita semua dapat mencipta sebuah Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.

Kata PAS Johor, masalah parkir yang sesak ketika upacara-upacara besar adalah perkara biasa di Malaysia dan ia boleh diselesaikan dengan mewujudkan sistem parkir yang lebih tersusun dan sistematik serta makluman kepada para pemandu kenderaan mengikut keadaan setempat.

“Sikap tidak bertoleransi juga terserlah kepada pemandu yang terlibat.

“Membunyikan hon ketika solat dikerjakan hanya menunjukkan betapa tiadanya toleransi lebih-lebih lagi ketika 1 upacara agama dilakukan. Ia sememangnya hanya akan mengundang ketidakpuashatian dan kemarahan jemaah surau,” kata PAS Johor.