Konsortium tangguh bayar Bandar Malaysia lebih 10 kali, kata Zahid

zahid-iwh-crecPUTRAJAYA: Sebuah usaha sama dengan syarikat China yang terlibat dalam perjanjian jualan saham Bandar Malaysia menangguhkan pembayaran lebih 10 kali, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri itu berkata ini memaksa kerajaan membatalkan perjanjian melibatkan IWH-CREC, konsortium antara Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (CREC), bagi tujuan mengambil alih saham dalam Bandar Malaysia.

“Terdapat penangguhan pembayaran beberapa kali, mungkin lebih 10 kali, oleh kerana Bandar Malaysia perlu dibangunkan ikut tempoh tertentu, kita lihat kepada perundangan dan keputusan kemudian dibuat,” kata Zahid.

Financial Times (FT) sebelum ini melaporkan pembatalan perjanjian bernilai RM7.3 bilion itu atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

IWH-CREC yang dituduh tidak melangsaikan bayaran itu sebelum ini menolak dakwaan itu, dan berkata pihaknya sudah menyelesaikan bayaran itu.

IWH-CREC berkata ia mempunyai kemampuan dan sumber kewangan mencukupi untuk memastikan pembangunan Bandar Malaysia dilaksanakan secara lancar dan berjaya.

Zahid berkata pembatalan itu bukan keputusan Najib semata-mata.

“Saya tahu bahawa apabila sesuatu perjanjian dilanjutkan atau keputusan yang kerana berlaku perlanggaran kontrak, lazimnya ia bukan keputusan seorang individu tetapi ia keputusan lembaga pengarah,” katanya.

Sementara itu, portal The Malaysian Insight melaporkan kerajaan sudah memulangkan balik sejumlah RM741 juta deposit oleh IWH-CREC untuk pembelian saham Bandar Malaysia, di samping RM44.883 juta bayaran interim bagi pemindahan dan pembangunan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Portal itu memetik sumber yang berkata pemulangan wang “memuktamadkan pengakhiran urus niaga itu” supaya boleh mencari pengganti memajukan Bandar Malaysia.

Sebelum ini, akhbar Singapura, The Straits Times mendakwa Kumpulan Dalian Wanda yang dimiliki Wang Jianlin, lelaki terkaya di China, disebut-sebut sebagai pengganti untuk memajukan projek mega di Kuala Lumpur itu.

Ia berkata Najib yang melawat China hari ini dijangka memeterai perjanjian itu dengan Dalian Wanda.