
Beliau membidas Adun Penanti Dr Norlela Ariffin dan mereka yang tidak hadir, termasuk beberapa daripada DAP, PKR dan Umno.
Pada 14 Mei lalu, Norlela di Facebook mendakwa “peruntukannya dibekukan” kerana tidak hadir majlis Tun Abdul Rahman Abbas mengangkat sumpah bagi penggal ke-4.
Norlela menjelaskan dia tidak dapat hadir kerana berada di Konvensyen PKR Pulau Pinang ketika itu. Norlela kemudian melancarkan kempen kutipan dana untuk membiayai projek komuniti kawasannya.
Catatan itu sudah diturunkan dari lamannya.
Konvensyen PKR yang diadakan di Arena Seberang Perai di tanah besar Pulau Pinang bermula 2.30 petang, manakala majlis angkat sumpah gabenor berlangsung pada 4.30 petang di kediaman rasmi gabenor, Sri Mutiara di pulau.
Guan Eng tidak mahu mendedahkan berapa ramai yang gagal menghadirkan diri, kerana tidak mahu “mengaibkan” mereka.
“Mengapa kamu tidak mahu hadir angkat sumpah TYT (Tuan Yang Terutama)? Majlis kamu lebih penting daripada majlis angkat sumpah ketua negeri Pulau Pinang?” katanya pada sidang media di pejabat di Komtar hari ini.
“Mestikah saya ingatkan yang kamu itu seorang Adun?” tambahnya.
Menyelar mereka bersikap tidak hormat, Guan Eng berkata: “Ini TYT kita. Hormatilah beliau. Demi tuhan, Kak Wan (Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) boleh hadir, mengapa kamu tak boleh?”
“Tiada maaf. Kalau kamu seorang Adun dan kamu merasakan angkat sumpah tidak penting, ada sesuatu yang tidak kena dengan kamu,” katanya.
Beliau mendakwa pembekuan itu tidak menjejaskan projek untuk rakyat.
Abdul Rahman, 79, menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 2001. Penggal gabenor diperbaharui setiap 4 tahun.
Guan Eng berkata mereka yang gagal hadir perlu menyerahkan surat penjelasan kepada pejabatnya. Beliau berkata pembayaran akan dilepaskan jika penjelasan yang diberi memuaskan hati.
“Bagi saya, mereka dikenakan hukuman ringan. Kita cuma membekukan peruntukan untuk 1 suku tahun.
“Sementara bagi wakil rakyat Umno pula, mereka tidak kisah jika mendapat peruntukan atau tidak,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon berkata keputusan membekukan geran suku ketiga tahun ini diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini.
Beliau berkata mereka yang memberikan penjelasan sewajarnya akan menerima peruntukan itu selepas dipertimbangkan pejabat ketua menteri.
Beliau menjelaskan geran RM200,000 setahun untuk setiap Adun dibayar dalam 4 fasa setiap 3 bulan.
Rashid berkata peruntukan lain seperti RM300,000 untuk setiap Adun tidak terjejas.
“Dua suku pertama sudah dibayar kepada mereka yang tidak hadir. Hanya suku ketiga yang kita katakan sekarang ini,” katanya.