
Dalam satu temu bual bersama Bloomberg di Hanoi pada Jumaat lalu, beliau berkata, terdapat “jangkaan umum” di kalangan rakyat yang PRU14 akan diadakan tahun ini dan terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menentukan “masa terbaik untuk menyerang”.
Katanya, parti pemerintah bekerja keras untuk meningkatkan komunikasi dengan pengundi walaupun mereka “dibantu” parti pembangkang yang berpecah belah.
BN yang diketuai Najib mahu mempertahankan tampuk pemerintahan selama 60 tahun pada PRU14 yang perlu diadakan menjelang pertengahan 2018.
Pembangkang dijangka memainkan isu kenaikan kos sara hidup pada PRU14, selepas gagal menarik sokongan pengundi pada beberapa pilihan raya kecil sebelum ini menggunakan isu kontroversi dana negara dan dakwaan rasuah Najib.
Kadar inflasi mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 8 tahun pada Mac lalu, sebelum ia merosot sedikit pada April, manakala sentimen pengguna pula berada di bawah tahap optimistik sejak pertengahan 2014.
“Orang ramai bimbang ringgit tidak naik seperti dahulu. Orang ramai masih tidak berpuas hati dengan GST,” katanya merujuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebanyak 6% yang dilaksanakan sejak 2 tahun lalu.
Mustapa berkata, rakyat kini lebih memahami cukai itu dan kenapa negara memerlukannya. Najib menyifatkan GST sebagai “penyelamat” kewangan kerajaan ketika harga minyak menjunam.
Peningkatan ekonomi
Ekonomi Malaysia dilihat bertambah baik dengan sebuah laporan pada Jumaat lalu menunjukkan pertumbuhan suku pertama tahun ini tertinggi dalam tempoh 2 tahun. Ringgit naik lebih 3% berbanding dolar tahun ini, selepas susut hampir 8% pada suku terakhir 2016.
Pada sambutan ulang tahun Umno ke-71 bulan ini, Najib menggesa parti itu bersatu dan menggesa ahlinya tidak berpuas hati ketika pakatan pembangkang sekali lagi dalam keadaan huru-hara.
Pembangkang gagal mengambil kesempatan pada 2013, apabila ia memenangi undi popular buat kali pertama. Berlaku perbalahan dalaman dan tindakan memutuskan hubungan sesama sekutu mereka, meningkatkan kemungkinan pertembungan pelbagai penjuru pada pilihan raya akan datang yang bakal memanfaatkan ahli politik Umno.
“Kita tidak boleh memandang rendah mereka,” kata Mustapa merujuk pembangkang.
Katanya, ia adalah pengajaran yang mereka pelajari pada 2013 dan “nampaknya wujud perpecahan. Mereka tidak bersatu seperti kami.”
Prospek PAS
PAS menunjukkan minat untuk menyokong Najib dalam beberapa dasar dan tindakan PAS memutuskan hubungan dengan sekutunya, PKR turut memberi kelebihan kepada Najib.
“Di peringkat tertinggi, mungkin ada beberapa perbincangan, tetapi jelas wujud cabaran di peringkat akar umbi selepas ‘pergaduhan’ sejak 40, 50 tahun lalu,” kata pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu merujuk potensi menjalin hubungan lebih rapat dengan PAS.
“Ia agak sukar untuk melupakan kisah silam. Saya tidak nampak PAS akan menjadi sebahagian daripada BN.”
Lebih 80% daripada 1.8 juta rakyat Kelantan adalah orang Melayu dan ia adalah negeri termiskin di Malaysia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terendah, menurut statistik kerajaan.
“Kami nampak beberapa perubahan dalam persepsi rakyat terhadap BN. Kami belum bertapak di sana, kami perlu bekerja lebih keras untuk merampas negeri itu daripada PAS.”