
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata bagi tujuan itu, pegawai penguat kuasa ditempatkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Pada hari pertama Ramadan semalam, 3 tangkapan dibuat sewaktu rondaan di kawasan Sungai Besi (di sini) atas kesalahan makan di siang hari di tempat awam tanpa menghormati bulan Ramadan.
“Jika orang Islam tidak boleh berpuasa atas sebab tertentu seperti sakit atau uzur, ini tidak bermaksud mereka boleh makan di khalayak ramai di bulan Ramadan. Itu yang menjadi kesalahan kerana tidak menghormati bulan Ramadan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata mereka yang didapati bersalah tidak menghormati Ramadan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang ke-2 atau berikutnya boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya.
Wan Jaafar berkata Jawi turut mengeluarkan poster kesedaran kepada masyarakat mengenai ibadah puasa serta maklumat berkaitan tindakan yang boleh diambil jika melanggar peraturan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menasihatkan pihak berkuasa agama agar menggunakan sumber yang ada untuk membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan daripada menangkap mereka yang tidak berpuasa.
Dalam salah satu mesej menerusi twitter hari ini, Khairy berkata sumber-sumber yang digunakan untuk menangkap mereka “ponteng puasa” seharusnya digunakan untuk membantu asnaf.