
Bekas menteri itu berkata benih keganasan sebenarnya bercambah dari kalangan pemimpin umat Islam sendiri yang cuba membangkitkan dakwaan kononnya Islam terancam.
“Pemimpin umat Islam kita sering memberitahu umat Islam di negara ini yang Islam diancam, yang pluralisme dan golongan liberal perlu dihapuskan demi membela agama.
“Mereka memberitahu umat Islam untuk mengikut ajaran Islam yang ‘sebenar’, yang bermaksud umat Islam perlu mengamalkan apa yang pemimpin ini definasikan sebagai Islam sebenar,” tulis Zaid dalam catatan blognya hari ini.
Zaid berkata umat Islam akan mencontohi “Islam sebenar” apabila budaya memaksa dan mengugut oleh agamawan dihentikan.
“Selama 2,000 tahun, ummah bercakap mengenai Islam sebenar dan sehingga sekarang, tiada orang yang menjadi lebih bijak.
“Kita boleh mengamati Islam sebenar sekiranya budaya intimidasi dibuang, dan belajar hidup bersama dan menerima orang lain. Kita akan menemuinya (Islam sebenar) sekiranya kita meletakkan nilai kemanusiaan ke depan,” kata Zaid.
Zaid berkata Najib boleh mengambil langkah bermakna untuk membuang benih keganasan di kalangan umat Islam dengan merombak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan berkenaan hal ehwal Islam di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri.
“Lantik sekumpulan umat Islam progresif baharu untuk menerajui Jakim, untuk menyampaikan visi baharu mengenai Islam sebenar, dan kemudian sampaikan ceramah kepada jabatan agama negeri untuk memaklumkan mereka yang Islam sebenarnya tidak diancam.”
Menurutnya, perdana menteri perlu memupuk perubahan sikap lebih positif di kalangan pemimpin Islam di negara ini bagi mengurangkan “suasana toksik”.
“Keganasan mengambil masa untuk membarah. Di Britain, umat Islam radikal terlibat bertahun-tahun dalam dakyah radikal (disebabkan golongan liberal yang tidak tahu membezakan kebebasan bersuara dan ucapan kebencian), sebelum mereka berjaya menghasilkan bom bergerak di London dan Manchester hari ini,” katanya merujuk kejadian serangan keganasan di 2 bandar raya itu baru-baru ini.