
Akhbar Straits Times Singapura hari ini melaporkan Mahmud, yang membantu membiaya kepungan ekstremis di Marawi, dipercayai terbunuh dalam pertempuran di situ.
ST memetik Jeneral Eduardo Ano dari tentera Filipina sebagai berkata Mahmud mati pada 7 Jun, selepas tercedera dalam pertempuran di Marawi bulan lalu.
Memetik sumber risikan yang dikongsi rakan sejawat asing, Ano memberitahu ST Mahmud disyaki menyalurkan lebih 30 juta peso (RM2.6 juta) dari IS untuk membeli senjata api, makanan dan bekalan lain untuk serangan di Marawi.
Laporan itu berkata pihak berkuasa anti-pengganas di Malaysia belum mengesahkan sama ada Mahmud terbunuh kerana mayatnya belum ditemui. Bagaimanapun mereka mengesahkan Mahmud mencari dana untuk kumpulan pengganas itu.
Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Abu Handzalah, dikatakan memainkan peranan pemimpin dalam kalangan militan Maute di Filipina, yang mempunyai kaitan dengan IS.
Omarkhayam Maute, bersama ahli keluarganya, Abdullah, membentuk kumpulan yang membekalkan sebahagian besar orang bersenjata yang menyerbu Marawi bulan lalu, juga dipercayai terbunuh.
Menurut laporan ST, jurucakap Pasukan Petugas Marawi Leftenen Kolonel Jo-Ar Herrera memberitahu pemberita mereka dapat mengesahkan maklumat yang mengatakan Maute terbunuh.
Jika sah, kematian Mahmud memberi tamparan kepada usaha IS untuk bertapak di kepulauan Mindanao dan rantau ini, kata laporan itu.
ST melaporkan beliau dipercayai terpilih sebagai pengganti Isnilon Hapilon, yang dinamakan sebagai ketua IS di Asia Tenggara.
Mahmud dan orang kanannya Mohd Najib Husen, yang terbunuh di Filipina sebelum beliau, dikenalpasti sebagai perekrut utama IS di Malaysia.
Mahmud juga bertanggungjawab melatih dan menghantar militan untuk bertempur di Syria dan Iraq. Antara yang direkrut beliau adalah pengebom bunuh diri warga Malaysia yang pertama, Ahmad Tarmimi Maliki.
Beliau juga menerima latihan dari kem al-Qaeda di Afghanistan di bawah Osama bin Laden semasa menuntut di Universiti Islam Islamabad, Pakistan pada penghujung 1990-an.
Beliau kembali ke Malaysia dan menjadi pensyarah di Universiti Malaya.
Mahmud melarikan diri ke Filipina selepas polis membongkar kegiatan militannya pada 2014.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di Mindanao selepas serangan mengejut Maute dan militan IS di Marawi pada 23 Mei lalu.
Hampir 200,000 penduduk Marawi dipindahkan tetapi lebih 500 orang awam dikatakan terperangkap atau dijadikan tebusan. Tentera kerajaan masih berusaha mengusir pengganas.
Rampasan Marawi oleh militan yang bersetuju dengan IS mencetuskan kegemparan di negara jiran, termasuk Malaysia, dan pihak berkuasa berjaga-jaga untuk kesan limpahan dari pertempuran itu.