Ini syarat negara Arab kepada Qatar

saudi-bahrain-qatar1DUBAI: Empat negara Arab yang memboikot Qatar memberi amaran kepada Doha supaya menutup stesen televisyen Al Jazeera, memutuskan hubungan dengan Iran, menutup sebuah pangkalan tentera Turki dan membayar ganti rugi – tuntutan yang sukar dipenuhi Doha.

Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghantar satu senarai 13 tuntutan bertujuan menghapuskan dasar luar Doha mencampuri urusan negara lain yang mencetuskan kemarahan mereka. Kuwait ialah orang tengah dalam membantu menyelesaikan krisis itu.

Jurucakap kerajaan Qatar berkata, Doha sedang mengkaji senarai tuntutan itu dan maklum balas rasmi akan dikeluarkan Kementerian Luar kepada Kuwait, tetapi beliau menyifatkan tuntutan terbabit tidak munasabah atau boleh dipenuhi.

“Senarai tuntutan ini mengesahkan apa yang dikatakan Qatar sejak awal lagi – sekatan haram tiada kena-mengena dengan memerangi keganasan, ia bertujuan mengehad kedaulatan Qatar dan penyumberan luar dasar luar kami,” kata Pengarah Pejabat Komunikasi Kerajaan Qatar, Sheikh Saif al-Thani dalam satu kenyataan.

Sebuah badan hak asasi manusia separa kerajaan Qatar berkata, tuntutan itu melanggar konvensyen hak asasi manusia dan tidak boleh diterima Doha.

Isnin lalu, Menteri Luar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani berkata, Qatar tidak akan berunding dengan 4 negara Arab itu sehingga hubungan ekonomi, diplomatik dan laluan penerbangan dipulihkan.

Negara Teluk yang melaksanakan sekatan itu mendakwa Qatar membiayai aktiviti keganasan, mencetuskan pergolakan serantau dan terlalu dekat dengan musuh mereka – Iran.

Qatar bagaimanapun menepis dakwaan itu dengan berkata, ia dihukum kerana tidak menyokong pendirian negara jirannya terhadap pemerintah tentera dan diwarisi.

Tempoh 10 hari

Seorang pegawai dari sebuah daripada 4 negara Arab itu berkata, tawaran itu akan “terbatal” jika Qatar tidak memenuhi tuntutan mereka dalam masa 10 hari.

UAE berkata, sekatan itu boleh diteruskan selama bertahun-tahun. Qatar yang merupakan negara per kapita terkaya di dunia berkata, ia mempunyai rizab mencukupi untuk menghadapi sekatan itu.

Pertikaian itu merupakan ujian besar buat Amerika Syarikat (AS) yang memiliki pangkalan tentera besar di Qatar yang menempatkan 11,000 anggota tentera dan ibu pejabat tentera udaranya di Timur Tengah.

Presiden Donald Trump menyokong sekatan itu, walaupun Jabatan Pertahanan dan Negeri AS cuba mengambil pendirian berkecuali.

Trump menyifatkan Qatar sebagai “penaja keganasan pada tahap sangat tinggi”, tetapi Pentagon bertindak meluluskan jualan pesawat pejuang bernilai AS$12 bilion 5 hari kemudian.

Negara paling berkuasa di rantau itu yang menyokong Doha ialah Turki, dengan kerajaan pimpinan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan meluluskan undang-undang untuk menghantar lebih banyak tentera ke pangkalannya di Qatar sebagai tanda sokongan.

Menteri Pertahanan Turki, Fikri Isik menolak desakan menutup pangkalan tentera di Qatar dengan berkata, ia adalah satu bentuk campur tangan dalam hubungan Ankara dan Doha.

“Mengukuhkan pangkalan Turki adalah langkah positif dari segi keselamatan Teluk. Menilai semula perjanjian pangkalan dengan Qatar tidak termasuk dalam agenda kita.”

Stesen televisyen dibiayai Qatar, Al Jazeera menyifatkan arahan penutupan itu sebagai “cubaan menyekat kebebasan bersuara di rantau ini”.

Pegawai salah sebuah negara itu berkata, dalam tuntutan yang diserahkan Kuwait kepada Qatar, Doha diarah berhenti mencampuri urusan dalaman dan luaran 4 negara Timur Tengah itu serta tidak memberi taraf kewarganegaraan Qatar kepada rakyat mereka.

Mereka juga mahu Doha memutuskan hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, IS, Al-Qaeda, Hezbollah dan Jabhat Fateh al-Sham, serta menyerahkan semua pengganas di Qatar. Doha bagaimanapun menafikan ia mempunyai hubungan atau melindungi kumpulan pengganas.

Qatar turut diarah mengurangkan hubungan diplomatik dengan Iran, mengehadkan hubungan perdagangannya dan mengusir anggota Pengawal Revolusi Iran. Qatar menafikan kehadiran mereka di negara itu.

Empat negara Teluk itu turut menuntut Qatar membayar ganti rugi atas sebarang kerosakan atau kos yang timbul akibat dasar Qatar.

Pegawai itu berkata, mereka akan memantau pematuhan terhadap tuntutan terbabit menerusi laporan bulanan pada tahun pertama, diikuti laporan setiap 3 bulan pada tahun berikutnya dan setiap tahun selama 10 tahun.

Walaupun Reuters dimaklumkan mengenai kandungan tuntutan itu oleh seorang pegawai dari negara yang melaksanakan sekatan itu, Menteri Hal Ehwal Luar UAE, Anwar Gargash sebaliknya menuduh Qatar membocorkan tuntutan dikemukakan mereka.

“Kebocoran (tuntutan itu) bertujuan menjejaskan proses rundingan,” tulis Gargash di Twitter.