Kit Siang tunggu penjelasan Najib untuk bersara dari politik

Kit Siang tunggu penjelasan Najib untuk bersara dari politik

Ahli politik veteran itu berkata demikian untuk menyelamatkan DAP daripada dibatalkan pendaftaran menjelang PRU.

kit-siang-1
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menawarkan peletakan jawatannya daripada DAP kerana bimbang beliau menjadi punca parti itu diisytiharkan tidak sah menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Lim berkata beliau menunggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengesahkan rancangan Putrajaya terhadap status DAP, susulan kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin yang membayangkan calon DAP terpaksa bertanding tanpa logo roketnya pada PRU akan datang.

“Najib Razak tidak perlu berbelit-belit dan bersembunyi di belakang setiausaha akhbarnya mahupun pasukan publisiti dan propagandisnya yang terlebih bayar.

“Katakan saja sekiranya persaraan saya adalah syarat untuk menamatkan konspirasi Umno/BN mengharamkan DAP, saya akan mempertimbangkannya,” kata Lim.

Lim sebelum ini meminta ahli parti bersiap sedia menghadapi kemungkinan DAP diharamkan, selepas Sariffuddin menasihatkan DAP bersedia kemungkinan ia tidak dibenarkan menggunakan logo roketnya pada PRU akan datang, oleh kerana pimpinan pusat parti itu masih tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Malah, seluruh kepimpinan DAP terancam dan boleh diisytiharkan haram kerana didakwa melakukan manipulasi dalam pemilihan parti,” kata Sariffuddin.

Lim berkata walaupun timbalan Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak spekulasi DAP diharamkan kerana JPPM masih belum membuat keputusan sama ada mengiktiraf barisan kepimpinan parti itu, kuasa masih di tangan Najib.

Menurutnya, di bawah pentadbiran sekarang, Sariffuddin tampak lebih berkuasa daripada Zahid yang merupakan menteri dalam negeri yang mengawal JPPM.

Menurut Lim, umum mengetahui pihak mana mempunyai kuasa walaupun Zahid dan JPPM boleh membantah campur tangan dalam bidang tugas mereka.

Lim selanjutnya menasihati Sariffuddin agar mengambil pengajaran daripada setiausaha perdana menteri sebelum ini.

“Tengku Sariffuddin mengingatkan saya akan seseorang setiausaha politik kepada perdana menteri sebelum ini, yang terlalu berkuasa sehingga boleh menjatuhkan air muka menteri kanan.

“Ada baiknya Tengku Sariffuddin memikirkan nasib yang menimpa mereka yang sombong dan tiada sifat rendah diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.