Azmin akan faham jika berada di tempat saya, kata Wong Chen

Wong-ChenSUBANG JAYA: Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, Datuk Seri Azmin Ali akan memahami perasaannya jika beliau pernah melalui pengalaman diaudit tanpa proses sewajarnya.

Beliau memberi contoh pejabat menteri besar Selangor itu diaudit tanpa melalui proses betul.

Dalam keadaan itu, katanya, Azmin “pasti tidak sedar dirinya diaudit”.

“Juruaudit tidak akan melawat pejabatnya atau menghubungi pegawainya untuk mendapatkan penjelasan, dan tidak akan melihat sebarang dokumen asal,” katanya pada sidang media hari ini.

“Laporan audit itu akan mengambil 11 bulan untuk disiapkan. Pada masa sama, perbendaharaan segera membekukan perbelanjaan komuniti Mesra Rakyat Azmin, namun mereka tidak memaklumkan pembekuan itu kepadanya.

“Selepas laporan audit dikeluarkan 11 bulan kemudian, dengan menganggap beliau mempunyai keputusan sama dengan saya, Azmin akan mendapat berita buruk kerajaan negeri memutuskan untuk memperluaskan pembekuan ke atas semua perbelanjaan komunitinya, tanpa sebarang alasan.

“Laporan audit itu akan mengatakan tiada isu serius ditemui dalam pengurusan kawasannya.”

Wong berkata, dalam senario itu, beliau tidak fikir Azmin mampu membuat kenyataan sama seperti semalam.

Semalam, Azmin dilaporkan berkata, sebagai ahli Parlimen, Wong sepatutnya memahami dan menghormati proses audit bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak berkata, beliau pernah diaudit, tetapi tidak menjadikan ia satu isu.

Beliau menasihatkan Wong membincangkan perkara itu dengan kerajaan negeri, bukannya membuat kenyataan terbuka.

Wong berkata, walaupun beliau tidak pasti proses audit yang dilalui Azmin, namun beliau tahu, berdasarkan laporan media, sekurang-kurangnya Azmin dimaklumkan beliau sedang diaudit.

“Proses audit saya dan beliau jelas berbeza kerana audit ke atas saya dibuat tanpa ketelusan atau notis,” katanya.

Wong berkata, beliau menulis beberapa surat kepada kerajaan negeri, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas selama 3 bulan.

Beliau mendakwa menemui Azmin sendiri pada Mei lalu yang berjanji akan diberikan jawapan.

“Saya tidak faham bagaimana saya boleh berbincang dengan kerajaan Selangor yang menyekat saya secara konsisten. Perkara ini tertangguh 5 bulan.”

Katanya, walaupun beliau bukan jenis yang menghebohkan masalah di khalayak ramai, namun keputusan kerajaan negeri membekukan akaun Mesra Rakyatnya lebih setahun sudah menjejaskan pengundinya.

Beliau berkata, ini amalan luar biasa, khasnya apabila akaun itu dibekukan sebelum pengauditan selesai.

“Adalah penting untuk tahu kerajaan Selangor langsung tidak menulis surat untuk memaklumkan perbelanjaan Mesra Rakyat saya dibekukan.

“Saya dan pegawai saya tidak tahu mengenainya sehingga 9 Jun lalu, hampir setahun kemudian.”

Wong berkata, kira-kira 400 keluarga miskin yang menerima bantuan kebajikan tahunan disediakan pejabatnya, terjejas akibat tindakan itu.

“Mereka terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas ditinggalkan dari kawasan Desa Mentari.

“Apabila mereka membekukan akaun saya tanpa sebarang penjelasan, ia menjejaskan orang miskin di kawasan saya yang mengharapkan bantuan kebajikan ini.”

Perbelanjaan komuniti Wong dibekukan selepas satu audit mendapati pejabatnya tidak membelanjakan semua dana Mesra Rakyat sebanyak RM250,000 yang diberikan kepadanya setiap tahun.

Wong ketika menjelaskan perkara itu berkata, dana berkenaan digunakan untuk projek kecil dan acara sosial.

Walaupun beliau mendakwa memenuhi syarat projek kecil, tetapi beliau mengelakkan penganjuran acara sosial.

Ini kerana, beliau memperuntukkan wang itu untuk ribuan orang miskin di Kelana Jaya.

“Saya tidak mahu membazirkan wang itu untuk acara sosial dan kami diberi peluang memutuskan bagaimana kami mahu menggunakan wang tersebut, asalkan ia berada dalam 4 atau 5 kategori yang ditetapkan,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/05/wong-chen-sebahagian-peruntukan-dibekukan-sebelum-audit/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/06/azmin-saya-pernah-diaudit-tetapi-ia-tak-jadi-isu/