Lanjut khidmat Md Raus canggah Perlembagaan, kata Kit Siang

lim-kit-iang_Raus-Sharif_law_600

PETALING JAYA: DAP menyifatkan pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif sebagai hakim tambahan dan keputusan melanjutkan tempoh khidmat beliau sebagai ketua hakim 3 tahun lagi sebagai langkah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan “belum pernah berlaku” di negara ini.

Lim Kit Siang berkata, langkah diumumkan oleh pejabat perdana menteri malam tadi menjerumus Malaysia ke dalam krisis perlembagaan yang baharu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menegaskan, “bola” kini berada di mahkamah Raus sama ada beliau bersedia untuk “mempertahankan kesucian dan integriti Perlembagaan (Persekutuan)” dengan menolak pelantikannya sebagai hakim tambahan manakala tempoh khidmat pula dilanjutkan.

“Ramai ahli undang-undang, termasuk bekas ketua hakim, bekas hakim mahkamah persekutuan, bekas menteri undang-undang dan Majlis Peguam menyatakan kebimbangan mereka mengenai kemungkinan pelantikan ketua hakim negara sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan, tetapi kedua-dua perdana menteri dan peguam negara tidak mahu mengambil berat kebimbangan yang diutarakan dan sebab-sebab yang mereka berikan,” kata Kit Siang.

Beliau mengulas pelantikan Md Raus Sharif akan menyandang jawatan ketua hakim negara bagi tempoh 3 tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Selain itu, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh 2 tahun mulai 28 September ini, pula memegang jawatan presiden Mahkamah Rayuan bermula tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Pelantikan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal 1A Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal 1 Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

Pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan setelah masing-masing mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan adalah atas sembah cadangan dan nasihat ketua hakim negara pada ketika itu, Tun Arifin Zakaria, kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2017 sebelum Yang Amat Arif bersara, kata kenyataan pejabat perdana menteri.

FMT sebelum ini melaporkan hakim-hakim yang telah bersara dan Majlis Peguam melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan Md Raus dan Zulkefli akan dikekalkan dalam jawatan mereka.

Tan Sri Abdul Hamid Mohamad, yang berkhidmat sebagai ketua hakim selama setahun hingga 2008 berkata sebarang langkah oleh Raus untuk terus berkhidmat selepas bersara akan berkompromi dengan kebebasan badan kehakiman Malaysia.

Hamid berkata mengekalkan ketua hakim menjangkaui had usia persaraan wajib akan mewujudkan ketidakpastian di kalangan hakim lain mengenai kerjaya mereka.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/07/08/raus-sharifs-extension-as-cj-unconstitutional-says-kit-siang/