Kementerian Kesihatan pertahan hasil bedah siasat Thaqif

hilmi-yahaya-thaqifSUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan mempertahankan laporan bedah siasat yang merumuskan leptospirosis atau jangkitan kencing tikus sebagai punca Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi meninggal dunia April lalu, walaupun dipertikaikan keluarga pelajar tahfiz itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, bedah siasat itu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Thaqif.

“Kalau kita tidak siasat kes sebenar, ustaz (pembantu warden) akan dikenakan tuduhan membunuh. Kita kena adil dan cari punca,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pengajar 2017 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan, hari ini.

Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April lalu selepas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi didakwa memukulnya dengan paip getah.

Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong selepas mengalami jangkitan, sementara tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir pada 26 April.

Kelmarin, ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad menolak hasil bedah siasat itu, sambil mempersoalkan mengapa kaki anaknya dipotong jika betul Thaqif dijangkiti kencing tikus yang boleh dikesan dengan awal.

“Secara logik, kalau kencing tikus, kenapa nak potong kaki? Saya nak tanya kenapa nak potong kaki anak saya kalau kencing tikus. Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat 1 atau 2 minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, laporan bedah siasat merumuskan leptospirosis menjadi punca kematian Thaqif, yang dirumitkan keadaan kulit nekrosis (purpura fulminans) dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di saluran darah, bukannya akibat cedera dipukul pembantu warden.

Katanya, sampel tisu dan darah Thaqif diambil pada hari sama pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan akan melakukan pemeriksaan di rumah Thaqif dan Madrasah Tahfiz Al-Jauhar bagi mencari punca mangsa dijangkiti leptospirosis.

“Pegawai kita di lapangan akan menjalankan siasatan di rumah, sekolah mangsa,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/07/10/thaqif-meninggal-akibat-kencing-tikus-kata-laporan-bedah-siasat/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/10/sekolah-tak-pasti-dari-mana-thaqif-dijangkiti-penyakit-kencing-tikus/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/10/ibu-thaqif-tolak-hasil-bedah-siasat/