Kami Bumiputera, kata pertubuhan India Muslim

Dhajudeen-permimPETALING JAYA: Sebuah persatuan mewakili masyarakat India Muslim menegaskan komuniti itu harus diiktiraf secara rasmi sebagai Bumiputera.

Presiden Persatuan India Muslim Malaysia (Permim), Dhajudeen Shahul Hameed berkata komuniti ini telah menetap di negara ini lebih 5 abad yang lalu.

“Kami banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan mengamalkan budaya Melayu,” Dhajudeen memberitahu FMT.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak 5 hingga 6 tahun lalu sudah membuat kenyataan India Muslim adalah Bumiputera.

“Apa yang kita mahu hanyalah supaya ia diwartakan,” katanya.

Baru-baru ini, Dhajudeen mengemukakan 3 tuntutan untuk mewartakan komuniti itu sebagai Bumiputera.

Beliau juga berharap kerajaan memperuntukkan tanah di Putrajaya atau Kuala Lumpur untuk membina pusat komuniti India Muslim, di samping seorang pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan hal ehwal kira-kira 1 juta India Muslim di negara ini.

Najib yang turut hadir berkata, kerajaan akan mengkaji secara mendalam terhadap permintaan Muslim India untuk diiktiraf sebagai Bumiputera.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, beliau secara peribadi merasakan isu pengiktirafan Bumiputera adalah perkara yang sudah lama tertangguh.

“Kami komuniti India Muslim yang menyebarkan Islam ke negara ini dan menyumbang kepada kekayaan ekonomi serta membantu mentadbir dan menguruskan hal ehwal negara,” katanya.

Ayoob menyokong kenyataan Dhajudeen dan berkata sumbangan ekonomi masyarakat India Muslim adalah penting dan tidak boleh dinafikan.

“Sejarah menunjukkan sumbangan ekonomi India Muslim wujud sejak pertengahan abad yang lalu, terutamanya dalam sektor perdagangan,” katanya.

Menurut Ayoob, pegawai khas di JPM untuk hal ehwal komuniti India Muslim adalah perlu kerana jumlah mereka sudah mencapai lebih daripada 1.5 juta.

“Ini termasuk saudara-saudara kita dari Malabar (India) dan Pakistan.

“Ini juga untuk menjaga hal ehwal dan kepentingan komuniti ini dan juga kerajaan sentiasa boleh mendengar denyut nadi masyarakat ini,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/18/anda-semua-bumiputera-najib-beritahu-india-muslim/