SAPP: Bubar DUN Sabah jika kerusi baharu tidak lulus

Yong-Teck-Lee-sabah-parlimen-1

KOTA KINABALU: Parti Progresif Sabah (SAPP) hari ini mencabar Barisan Nasional (BN) membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah jika tidak dapat menyelesaikan kelewatan meluluskan 13 kerusi negeri baharu.

Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata, kelewatan yang tidak dapat dijelaskan itu menimbulkan kebimbangan mengenai pertelingkahan dalaman yang menjejaskan keupayaan kerajaan Sabah untuk mentadbir.

DUN meluluskan pindaan kepada perlembagaan Sabah pada Ogos lalu untuk meningkatkan bilangan kerusi negeri dari 60 hingga 73 kerusi.

“Kerajaan memberikan bermacam alasan untuk mewajarkan pertambahan 13 kawasan pilihan raya,” kata Yong. SAPP parti komponen Gabungan Sabah.

“Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian untuk mencipta 13 kawasan pilihan raya. Sempadan baharu kawasan pilihan raya sedia ada turut dilakukan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian menerbitkan sempadan kawasan pilihan raya baharu dan sedia ada. Ia akhirnya mengadakan pendengaran umum. Banyak wang dan usaha dibelanjakan.

“Namun, selepas setahun, masih tiada tanda ia akan diluluskan.”

Bekas ketua menteri itu menyoal adakah BN gementar kerana bimbang kerusi baharu mungkin beri kelebihan kepada pembangkang.

“Adakah kerana ada pergelutan kerusi baharu dalam kalangan parti komponen BN yang mengagalkan penciptaan kawasan baharu?” soalnya.

“Jika kawasan pilihan raya baharu tidak diwujudkan menjelang pilihan raya akan datang, ia bermakna kerajaan sudah membodohkan rakyat Sabah.

“Jika Parlimen tidak meluluskan sempadan pilihan raya baharu untuk Sabah bersama-sama dengan 13 kawasan pilihan raya baharu, ini bermakna pindaan kepada perlembagaan Sabah (meningkatkan keahlian Dewan kepada 73) menjadi sia-sia.”

Ini, menurut Yong, akan menjadi tamparan hebat terhadap taraf dan martabat DUN Sabah dan perlembagaan Sabah.

Beliau berkata “keadaan yang memalukan” itu tidak sepatutnya dibenarkan berterusan sehingga DUN Sabah bersidang semula.

“Jika Parlimen tidak meluluskan kawasan pilihan raya baharu dalam sidang semasa, maka DUN Sabah perlu dibubarkan supaya rakyat Sabah boleh memilih DUN baru yang mampu menegakkan taraf dan martabat DUN Sabah,” kata Yong.