
Katanya, permintaan terhadap PPNS sangat tinggi sejak dibuka oleh kerajaan negeri.
“Selama ini pun kita sudah iklankan. Televisyen yang tidak laporkan. Cuma kalau orang tidak tahu, kita tidak boleh buat apa-apa.
“Penerimaan cukup tinggi sebenarnya. Kita tidak ada masalah kerana sambutan diterima sangat baik,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Konvensyen Pemuda Amanah.
Pada 31 Julai lalu, permohonan PPNS bagi sesi ke-2 mula dibuka bermula 1 Ogos hingga 30 Ogos ini.
PPNS merupakan pembiayaan dalam bentuk pinjaman tanpa faedah untuk anak Selangor mengikuti pengajian sepenuh masa di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda pertama di institut pengajian tinggi awam serta swasta dalam negara.
Antara syarat am dikenakan termasuk pemohon lahir di Selangor atau ibu bapa lahir di Selangor atau pemohon sudah bermastautin lebih dari lima tahun di Selangor.
Permohonan terbuka kepada pengajian sepenuh masa sahaja sementara pengajian secara jarak jauh (PJJ), luar kampus (PLK), A Level, O Level, sijil profesional dan pelajar Kolej Vokasional seluruh negara adalah tidak layak memohon.
Bagaimamapun ada sesetengah pihak yang mendakwa tidak mengetaui mengenai pinjaman pelajaran yang disediakan di negeri itu.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata tempoh sebulan yang dibuka untuk sesi ke-2 itu bersesuaian dengan menilai pengambilan pelajar di setiap universiti dan proses pentadbiran pembiayaan pelajaran.
“Jika pelajar yang memohon tidak berjaya, mereka boleh mencuba untuk sesi seterusnya.
“Boleh lihat di talian portal rasmi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor, ada terangkan tentang cara memohon dan tempoh masa diberi,” katanya.
Pemohon mengemukakan permohonan lengkap dan layak akan disenarai pendek untuk temu duga yang dijadualkan dalam tempoh 2 hingga 3 minggu selepas tarikh tutup permohonan.
Kadar pinjaman adalah RM7,000 bagi pelajar Ijazah Perubatan, Ijazah Sarjana Muda (RM6,500), Diploma (RM4,900) dan Sijil (RM4,000).