
Katanya, beliau secara peribadi tidak mengenali individu tersebut kerana mana-mana pihak yang datang ke pusat khidmatnya di Titiwangsa untuk urusan perniagaan akan diberi surat sokongan.
“Saya tidak tahu individu berkenaan secara peribadi. Sepanjang pengetahuan saya, sesiapa yang datang ke Pusat Khidmat Titiwangsa untuk dapatkan surat sokongan untuk urusan perniagaan, saya akan sokong,” katanya kepada FMT, hari ini.
Sivarasa pada sidang media hari ini mendedahkan surat sokongan dari Johari, yang didakwa digunakan oleh individu tersebut untuk membawa masuk 341 pekerja dari Bangladesh.
Wakil rakyat PKR itu juga mendakwa pekerja yang dibawa masuk itu juga memiliki sijil kemahiran dan sijil pengiktirafan institut pengajian tinggi palsu.
“Saya difahamkan, lebih kurang 341 pekerja Bangladesh ke Malaysia di bawah pas pengajian jenis profesional seperti doktor, arkitek jurutera dan sebagainya.
“Permohonan pas diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Antara 341 pekerja itu, ramai bekerja sebagai tukang cuci atau pelayan di hotel.
“Amalan ini jelas melanggar undang-undang imigresen dan merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan denda,” kata Sivarasa.
Johari bagaimanapun menegaskan, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan harus dihukum walaupun mereka membawa surat sokongan seorang menteri.
“Sesiapa yang melanggar undang-undang mesti disiasat pihak berwajib walaupun mereka memiliki surat sokongan. Dalam kes ini, jika benar lakukan kesalahan, tindakan harus diambil terhadapnya. Saya mencadangkan imigresen siasat kes ini.
“Bagaimana individu ini boleh diberikan kebenaran untuk bawa pekerja asing jika ia merupakan syarikat palsu? Imigresen seharusnya menyemak status syarikat itu sebelum berikan kebenaran,” katanya.