Pasangan Islam wajib buat Perjanjian Pertunangan di Melaka

Pasangan Islam wajib buat Perjanjian Pertunangan di Melaka

Perjanjian Pertunangan itu mengandungi maklumat pasangan, peringatan serta syarat pertunangan bagi menjaga maruah pasangan dan mengangkat adat Melayu.

tunang-melaka
PETALING JAYA: Pasangan Islam yang ingin mengikat tali pertunangan di Melaka wajib mengisi borang khusus yang dinamakan Perjanjian Pertunangan.

Setiausaha Persatuan Sidang Melaka, Muslihin Muhammad dipetik Berita Harian berkata, borang itu bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya ia untuk menyimpan semua maklumat yang dibincangkan dalam majlis pertunangan.

Katanya, dalam lampiran borang tersebut terdapat maklumat pasangan, perkara mengenai tanda dan nilai pertunangan yang dibawa, jumlah hantaran dan tempoh pertunangan.

“Selain itu, borang itu juga menggariskan beberapa peringatan dan syarat pertunangan untuk menjaga maruah pasangan dan mengangkat adat Melayu.

“Ia juga mempunyai terma yang mengikat kedua-dua pihak kepada perjanjian, di mana jika pihak perempuan memutuskan pertunangan, pihak lelaki berhak mendapat kembali cincin dan wang pendahuluan.

“Jika sebaliknya, cincin dan wang tersebut menjadi milik pihak perempuan,” katanya sambil menambah borang itu diperkenalkan seawal 1960 semasa penubuhan Persatuan Ketua-ketua Kampung (Sidang) Melaka, tetapi pelaksanaannya dibuat melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Melalui perjanjian itu, Muslihin berkata, pasangan terbabit perlu mematuhi tempoh pertunangan dengan majlis pernikahan boleh dipercepatkan atau mengikut tempoh, namun tidak boleh lewat daripada masa ditetapkan.

“Jika majlis pernikahan melebihi tempoh pertunangan yang dimeterai, mereka perlu memaklumkan Sidang.

“Pihak lelaki juga perlu menyerahkan wang pengurusan adat sebanyak 1% daripada nilai hantaran kepada pihak perempuan ketika bertunang, namun ada budi bicara mengenai pembayarannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.