
Ini, kata Mahdzir, berikutan kenyataan terbaharu Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan yang dilaporkan berkata dirinya tidak percaya kepada konsep ‘Ketuanan Melayu’.
Dr Mahathir berkata, seseorang yang mahu menjadi ‘tuan’ perlu bekerja keras dan bersaing dalam keadaan dunia semasa.
Mahdzir berkata kenyataan Dr Mahathir itu mungkin strategi beliau untuk meraih sokongan para anggota DAP, parti komponen Pakatan Harapan, sebuah gabungan pembangkang.
Mahdzir yang juga menteri pendidikan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Klang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Unjur di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan bahawa Sekolah Kebangsaan Pulau Indah di sini bakal mendapat sebuah bangunan tambahan 4 tingkat dalam usaha mengurangkan kesesakan di sekolah itu.
Mahdzir berkata pegawai kementeriannya akan turun padang dalam masa terdekat bagi mengenal pasti tapak sesuai untuk didirikan bangunan tambahan itu di sekolah itu yang kini mempunyai 1,400 pelajar.
Permintaan untuk bangunan tambahan itu diutarakan oleh Ketua Umno Bahagian Klang, Datuk Nasarruddin M. Zin ketika berucap pada majlis itu.
Nasarruddin berkata kemudahan itu perlu bagi mengurangkan kesesakan di sekolah itu yang menyaksikan kemasukan seramai 400 pelajar setahun.