Aktivis Jufazli dipanggil polis kali ke-3, hadir di Bukit Aman esok

Aktivis Jufazli dipanggil polis kali ke-3, hadir di Bukit Aman esok

Aktivis itu ditahan pada Jun lalu untuk disiasat kerana disyaki melanggar Seksyen 4 Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jufazli-bukitaman
PETALING JAYA: Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad berhadapan dengan siasatan polis, dipercayai susulan laporan berhubung tulisan di media sosial mengenai kebakaran rumah setinggan di Tawau minggu lalu.

Jufazli berkata, beliau telah diminta hadir untuk dirakam percakapan di Bukit Aman, Kuala Lumpur petang esok.

“Pada 10 September (esok), saya akan menghadirkan diri untuk disoal siasat dan dirakam percakapan di Bukit Aman, pukul 2.30 petang.

“Siasatan ini bersangkutan pertikaian saya ke atas pembakaran rumah setinggan di Tawau, yang saya suarakan melalui platform media sosial pada 6 September,” kata beliau kepada FMT hari ini.

Katanya, beliau akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Siasatan esok merupakan kali ke-3 oleh pihak polis sejak tahun lalu.

Aktivis itu ditahan pada Jun lalu untuk disiasat kerana disyaki melanggar Seksyen 4 Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau pernah ditahan pada 9 November 2016 di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur dan disiasat kerana memfitnah, menghasut dan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multmedia. Beliau ditahan sehingga 15 November.

Aktivis dari Semporna itu lantang mengkritik kerajaan Sabah, terutamanya mengenai kes rasuah melibatkan jabatan air negeri, di mana seorang bekas pengarah dan 2 yang lain didakwa mengubah wang membabitkan RM61.48 juta.

Pemuda berusia 28 tahun itu yang bercadang mencabar Datuk Seri Musa Aman di kerusi Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyertai DAP sebagai ahli seumur hidup Jun lalu.

Sebelum ini beliau pernah berkata, sebagai umat Islam, beliau berbangga memilih DAP dalam usaha menewaskan Musa dan BN.

Katanya, beliau melepaskan tugasnya sebagai seorang pensyarah di universiti swasta untuk menumpukan perhatian terhadap perjuangan demi Sabah yang lebih baik, dan akan berpangkalan di Sandakan, di mana letaknya kerusi Sungai Sibuga sehingga PRU14.

Dalam kenyataan media hari ini, Jufazli berkata, beliau menjangkakan akan ditahan oleh polis esok.

“Paling penting, saya tidak pernah melakukan apa-apa jenayah,”  katanya, dan menganggap laporan polis yang dibuat terhadapnya palsu.

Sehubungan itu ujar Jufazli, bagi mengangkat kebebasan rakyat bersuara secara bebas dan penuh tanggungjawab, beliau memohon semua rakyat agar mendoakan, bersolidariti dan mendesak pihak polis menyiasatnya secara adil tanpa campur tangan politik pihak atasan.

“Saya amat yakin saya tidak pernah memfitnah rejim Umno-BN di Sabah di bawah kepimpinan ketua menteri Sabah. Saya mempersoalkan dan mempertikaikan perkara yang benar sehingga banyak rumah setinggan rakyat hancur musnah terbakar sepanjang 26 tahun pentadbiran rejim BN di Sabah,” katanya lagi.

Katanya, mengkritik kerajaan secara fakta, menegur kekurangan pentadbiran kerajaan secara objektif dan memperbetulkan kesilapan pelaksanaan dasar kerajaan secara tegas bukan 1 bentuk fitnah seperti ditanggapi oleh kerajaan hari ni.

“Semua ini adalah tradisi dalam sistem demokrasi berparlimen dan monarki berperlembagaan yang ada di negara ini. Saya akan terus dedahkan kebenaran di mahkamah dan rakyat akan tetap menang. Insya-Allah,” kata beliau.

Aktivis Sabah Jufazli dibebaskan dengan jaminan polis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.