Perkasa desak kerajaan tolak cadangan Maju Holdings ambil alih PLUS

Perkasa desak kerajaan tolak cadangan Maju Holdings ambil alih PLUS

Penjualan aset mungkin menimbulkan masalah kepada rakyat sebagai pengguna seluruh rangkaian lebuhraya milik PLUS dan merugikan pencarum KWSP.

Ruhanie-Ahmad
PETALING JAYA: Naib Presiden Perkasa Datuk Ruhanie Ahmad hari ini mendesak kerajaan, Khazanah Holdings, United Engineers Malaysia Berhad (UEM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertegas dan bersepakat menolak cadangan pembelian PLUS Malaysia Bhd oleh Maju Holdings.

Beliau yang juga pengerusi biro ekonomi dan agenda Bumiputera berkata kerajaan perlu menolak cadangan pembelian itu demi kepentingan rakyat dan negara.

Dalam kenyataan itu, Ruhanie menyebut, Menteri Kewangan Ke-2 Datuk Johari Abdul Ghani juga khuatir aset strategik ini berkemungkinan jatuh ke tangan entiti asing jika pinjaman gagal dibayar oleh Maju Holdings.

Menurut Ruhanie, penjualan aset tersebut mungkin menimbulkan masalah kepada rakyat sebagai pengguna seluruh rangkaian lebuhraya milik PLUS dan merugikan pencarum KWSP.

“Perkasa lebih prihatin terhadap untung-ruginya transaksi ini kepada KWSP yang bertanggungjawab kepada pencarumnya, dan juga untung-ruginya kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Pada Julai lepas, dilaporkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Tan Sri Abu Sahid Mohamad sudah menerima persetujuan daripada pimpinan tertinggi kerajaan untuk mengambil alih PLUS.

Menurut laporan akhbar The Edge, kadar tol akan kekal sama untuk 20 tahun jika Maju Holdings berjaya mengambil alih PLUS.

Susulan itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menzahirkan persetujuannya atas cadangan itu, mengatakan ia patut dipertimbangkan kerana mampu mengurangkan beban kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, UEM dan KWSP kemudiannya mengatakan mereka tiada niat menjual saham PLUS mereka kepada Maju Holdings.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.