Rapid KL ubah 3 laluan bas di Cheras atas aduan

Rapid KL ubah 3 laluan bas di Cheras atas aduan

Penduduk di 3 kawasan perumahan di Cheras sebelum ini megadu sukar mendapatkan perkhidmatan bas awam berikutan stesen bas Taman Mutiara hanya beroperasi sebagai bas perantara MRT.

Mohd-Azam-Omar-rapid-kl-transit
KUALA LUMPUR: Rapid Bus, operator perkhidmatan bas henti Rapid KL, hari ini menjelaskan perubahan kecil 3 laluan di Cheras bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna di Taman Desa Aman, Taman Gemilang dan Taman Mutiara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azam Omar berkata pelarasan laluan bas bernombor 400, 401 dan 450 berkenaan turut menjadikan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara sebagai perhentiannya, dan telah bermula 22 September lalu berikutan pengguna mengadu sukar mendapat bas ke tiga laluan berkenaan.

“Secara peribadi, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, saya bersedia melakukan apa juga ‘tweaking’ dan meluaskan kawasan perkhidmatan untuk memuaskan kehendak para pelanggan.

“Namun, kami mempunyai kekangan sendiri termasuk laluan-laluan tidak sesuai untuk perjalanan yang lancar, bilangan dan kapten bas, dan kepentingan operator lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata syarikat bas itu sentiasa bersikap terbuka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna bas tetapi tertakluk juga kepada hasil perbincangan dengan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang mempunyai kuasa mutlak meluluskan apa jua perubahan seperti kawasan perkhidmatan dan tambahan laluan bas.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di 3 kawasan perumahan di Cheras itu mendakwa sukar mendapatkan perkhidmatan bas awam berikutan stesen bas Taman Mutiara hanya beroperasi sebagai bas perantara MRT.

Mereka mendakwa bas Rapid KL sebelum ini berhenti di stesen itu tidak lagi berbuat demikian selepas MRT Sungai Buloh-Kajang beroperasi sepenuhnya pada Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.