
Presiden Jemaat Muslim Ahmadiyah di wilayah utara, Abdul Aziz Mohd Ibrahim berkata, ramai pengikut fahaman itu mengerjakan solat 5 waktu bersama umat Islam lain di masjid dan surau negeri berkenaan secara tetap.
“Ada sesuatu mengenai Pulau Pinang yang sangat berbeza daripada negeri lain di Semenanjung,” katanya kepada FMT.
“Kamu nampak masjid, gereja dan tokong di merata tempat. Kami lihat ini sebagai petanda orang di sini beriman dan bertoleransi. Dan umat Islam di sini anggap kami sebahagian daripada mereka. Alhamdulillah.”
Ahmadiah ialah fahaman Islam diasaskan Mirza Ghulam Ahmaddari dari Qadian, India pada awal abad ke-20, tetapi tidak diiktiraf sebahagian besar ulama sebagai salah satu aliran Islam perdana.
Fahaman itu diisytiharkan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan dikecam melalui khutbah Jumaat di serata Selangor bagi mengingatkan orang Islam yang fahaman itu bukan sebahagian daripada Islam.
Masyarakat Ahmadiah mendakwa mempunyai puluhan juta pengikut di seluruh dunia dengan ibu pejabatnya terletak di Britain.
“Mahdi kami dihantar untuk menghidupkan Islam dan memulakan usaha berdamai melalui dialog, berkhidmat kepada manusia dan mempromosikan pluralisme,” kata Aziz.
Beliau berkata, mungkin terdapat lebih 1,000 pengikut ajaan Ahmadiah di Malaysia, dengan 45 daripada keluarga itu berada di Pulau Pinang, dan tiada individu atau pihak berkuasa agama yang mengganggu mereka.
“Ke mana sahaja kami pergi, kami dengan bangganya memperkenalkan diri sebagai pengikut fahaman Ahmadiah. Mereka akan menyambut kami dengan salam dan menunaikan solat bersebelahan kami. Tiada masalah yang timbul.”
Ketua mubaligh masyarakat Ahmadiah di Pulau Pinang, Abdul Azizam memberitahu FMT beliau yakin komuniti itu akan “terus berkembang di tempat yang mempunyai tahap toleransi tinggi”.
Beliau berkata, perkembangan ketika ini berpusat di Sabah dan Sarawak.
Azizam yang berasal dari Kota Kinabalu berkata, kadar pertumbuhan masyarakat itu di Sabah amat menggalakkan dengan setiap daerah di negeri itu sudah mempunyai sebuah pusat komuniti.
“Sebagai orang Sabah yang bangga, saya boleh kata Sabah terbuka kepada semua agama. Ini sebabnya komuniti Ahmadiah terus berkembang di sana.”
Maklumat salah
Aziz berkata, ajaran Ahmadiah memberi penekanan terhadap kedamaian, toleransi, hormat-menghormati dan kasih sayang.
“Fahaman kami percaya kepada kasih sayang untuk semua dan tiada kebencian. Mahdi kami berkata, jihad menggunakan pedang tiada tempat dalam Islam. Sebaliknya, kami diajar untuk berjihad dengan pen, melancarkan wacana intelektual bagi mempertahankan Islam.”
Beliau turut mengadu mengenai sebuah “kempen maklumat salah” oleh ulama arus perdana di Malaysia.
Katanya, ulama berkenaan menipu dengan mendakwa ajaran Ahmadiah meminda Al-Quran.
“Bagaimana Al-Quran boleh diubah? Kami menggunakan kitab suci yang sama. Kamu boleh lihat sendiri jika ia diubah.
“Malah, ada satu laporan dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu yang mendakwa kami bersolat dengan belakang kami menghala ke Kaabah. Ia disertakan sekeping gambar palsu kami bersolat.
“Kami turut digelar ejen British dan Yahudi.
“Kami cuba menangani kenyataan palsu ini melalui wacana di internet.”
Beliau turut menyentuh sebuah kempen memusuhi pengikut ajaran Ahmadiah dengan menggelar mereka Qadiani, istilah yang menurutnya mempunyai konotasi negatif.
“Mereka asyik menggelar kami Qadiani, istilah untuk mereka yang berasal dari Qadian di India. Saya fikir perkataan Qadiani sudah menjadi perkataan tidak baik. Apabila umat Islam tempatan lain mendengar perkataan itu, mereka mula bimbang dan takut, fikir kami ialah ajaran sesat.”
Mengenai gesaan supaya pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap mereka oleh sebuah kumpulan bernama Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH) dalam sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada 27 September lalu, Aziz berkata, cara terbaik meredakan ketegangan itu adalah dengan mengadakan forum bagi menjawab semua keraguan mengenai Ahmadiah.
Beliau mencadangkan penyertaan “sekurang-kurangnya 250 pengikut fahaman Ahmadiah dan 250 umat Islam dari mazhab lain” dalam forum itu dan mempelawa stesen penyiaran serta internet untuk membuat liputan secara langsung.
“Kami sudah mengadakan forum aman antarabangsa di Pulau Pinang dengan mempelawa ratusan pemimpin agama dari seluruh dunia. Kami tidak takut untuk berdepan pengkritik kami.
“Ada yang kata terdapat 73 mazhab dalam Islam dan mereka tidak bersatu padu. Tetapi, apabila bercakap mengenai Ahmadiah, 72 mazhab bersatu melawan kami. Ia perkara pelik.”
Komuniti Ahmadiyah ketakutan kerana ancaman terselindung dari PPIM