Islam, bukan Islam kongsi kedai perkara biasa di Kelantan, kata PAS

Islam, bukan Islam kongsi kedai perkara biasa di Kelantan, kata PAS

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata orang Islam boleh menerima perkhidmatan daripada perniagaan dari orang bukan Islam asalkan bersih dari segi agama.

takiyudin
PETALING JAYA:
PAS berkata orang Melayu dan Cina menjalankan perniagaan dalam kedai yang sama perkara biasa di Kelantan, malah digalakkan, selagi premis dalam keadaan bersih.

Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata kebiasaannya orang Melayu akan menjalankan perniagaan makanan manakala orang Cina akan menjual minuman.

“Orang Islam jual nasi manakala orang Cina jual air. Perkara biasa di Kelantan. Boleh asalkan bersih dari perspekstif agama.

“Sama juga halnya dengan perniagaan dobi. Walaupun dijalankan oleh orang Islam tapi kalau tak bersih maka tak ikut ajaran Islam,” katanya kepada FMT.

Takiyuddin menjawab Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zin yang didakwa mengkritik Sultan Johor kerana membidas seorang pengusaha dobi untuk orang Islam sahaja di Muar dan mengatakan orang Cina tidak bersih.

Zamihan mempertahankan hak berkongsi pandangannya iaitu orang Islam harus menjaga kesucian dengan tidak mencampur aduk pakaian mereka dengan pakaian orang bukan Islam.

Beliau juga mendakwa orang bukan Islam dan orang Cina tidak bersih kerana mereka membersihkan diri dengan kertas tandas selepas membuang air.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi,” katanya dalam satu kuliah di sebuah masjid di Shah Alam, Ahad lalu.

Beliau kini dalam tahanan polis dalam siasatan kes menghasut.

Takiyuddin berkata tidak salah orang Islam minum teh atau kopi di kedai Cna.

Beliau berkata orang Islam boleh menerima perkhidmatan daripada perniagaan orang bukan Islam asalkan bersih dari perspektif agama.

Beliau juga memberi contoh orang Islam yang mengahwini seseorang yang memeluk Islam tidak boleh memutuskan hubungan dengan keluarga pasangannya.

“Hubungan dengan ibu bapa yang bukan Islam mesti dikekalkan. Itu prinsip asas dalam Islam,” katanya.

PAS memerintah Kelantan sejak memenangi negeri itu pada pilihan raya 1990.

Menurut data Jabatan Statistik 2016, 95.9% penduduk di negeri itu ialah Melayu, 3.2% Cina, 0.3% India dan 0.6% lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.