
Tatkala menerima kad jemputan perkahwinan daripada sanak saudara, soalan pertama dikemukakan oleh ibu bapa saya ialah, kahwin cinta atau kahwin atur, tetapi itu 20 tahun dahulu.Kini, mereka sudah tidak kisah, malah sedar gaya hidup generasi sekarang yang berdikari khususnya dalam hal memilih pasangan hidup.
Namun, tahukan anda masih ada yang mengamalkan tradisi perkahwinan yang diatur keluarga.
Saya dan adik lelaki saya juga mengikut tradisi perkahwinan atur, hanya saling mengenali jodoh menerusi pertemuan yang diatur keluarga.
Keluar “dating” pun 2 kali dalam masa kurang sebulan dan kami mendaftar perkahwinan secara sah.
Setiap kali bercerita mengenai kisah perkahwinan sesama rakan, tradisi kahwin atur ini pasti menjadi topik hangat.
“Macam mana kamu boleh kahwini seseorang tanpa mengenalinya? Bagaimana kalau dia menipu kamu? Selesakah kamu dengan dia? Bagaimana kamu membina hubungan selepas kahwin?” dan banyak lagi soalan diaju.
Terus terang, perkahwinan atur sudah kurang diamal, buat masa ini hanya kaum India yang masih berpegang kepada tradisi perkahwinan atur berbanding kaum lain.
Ketika menghubungi rakan-rakan dan kenalan yang berkahwin secara aturan keluarga, memang hampir tak jumpa kecuali dari bangsa India.
Mujurlah saya teringat kepada bekas rakan sekerja saya yang berbangsa Pakistan, Suhana Veru.
Percaya atau tidak, wanita muda ini hanya diberi masa seminggu untuk berkata “ya” pada pertemuan yang diatur keluarga itu, situasi biasa yang berlaku dalam perkahwinan atur.
“Saya berkahwin atas tuntutan keluarga, pilihan ibu bapa. Mereka tidak mahu keturunan, bangsa dan budaya kami pupus. Walaupun kami berbangsa Pakistan, kami juga ada sub-etnik yang dipelihara orang tua,” kata ibu kepada 2 cahaya mata itu.
Bulan depan, genap 4 tahun Suhana dan suaminya, Mohd Amran mendirikan rumah tangga. Mereka hargai perkahwinan yang direstui keluarga kedua-dua belah pihak kleuarga itu.
Menurut Suhana, dia langsung tidak mengenali suaminya, malah tidak berpeluang pun untuk berkenalan pun.
“Bagaimanapun kami tetap mencuri masa untuk berjumpa dengan kebenaran ahli keluarga, namun waktu itu tiada perasaan cinta sebab masing-masing kelihatan sombong. Bagi saya dia (suaminya) nampak berlagak,” katanya.
Selepas pertemuan pertama, keluarga Suhana sudah mula mendesaknya membuat keputusan.
“Pada minggu kedua, pihak lelaki juga mahu tahu keputusan saya supaya mereka boleh cari jodoh lain jika hubungan kami tidak menjadi. Hubungan? Kami memang tiada apa-apa hubungan pun ketika itu,” katanya sambil imbas pengalamannya.
Kebetulan Suhana berjumpa kali kedua dengan bakal suaminya di R&R Sungai Buloh ketika dalam perjalanan pulang dari kampung halamannya, Ipoh.
“Bila saya turun dari bas, saya nampak dia tunggu. Entah kenapa saya rasa sangat berkenan. Saya boleh rasa dia adalah orangnya,” katanya sambil ketawa besar.
Menariknya, suaminya juga berperasaan sama – itulah dikatakan jodoh!
Mereka bernikah pada minggu ke-3 dan berkahwin dalam masa 4 bulan.
“Hingga ke detik ini kami masih mengenali hati budi masing-masing. Pendek kata, kami baru mula bercinta selepas kahwin dan masih bercinta sehingga sekarang.”Suhana bersyukur atas pilihan keluarganya yang sesuai dengan personaliti dirinya, seorang periang, tidak mengongkong dan amat memahami.
Ditanya mengenai pendapatnya berkenaan perkahwinan cinta, Suhana juga akui berkata, bercinta juga banyak faedah.
“Antaranya pasangan saling mengenali lebih rapat dan lama. Manakala, kahwin atur berisiko kerana tiada pengetahuan mengenai pasangan.”
Bagaimanapun, Suhana masih percaya kepada adat perkahwinan atur walaupun dia sedar mentaliti generasi ini dan akan datang.
“Kalau untuk anak saya kelak, selagi mereka pilih calon yang sesuai, saya tidak kisah. Cuma suami agak tegas kerana dia juga tidak mahu keturunan kami pupus bila berkahwin campur, khususnya apabila mengahwinkan anak perempuan,” ujarnya.
FMT Ohsem pasti, ramai pembaca yang berkahwin secara aturan keluarga juga boleh mencari persamaan kisah mereka dengan pengalaman Suhana.
Walau apa sekalipun, kahwin cinta atau aturan keluarga, kedua-dua pasangan itu mestilah saling mempercayai dan bertoleransi dengan apa jua cabaran yang bakal dihapapi.