
“Mengenai kes itu, kita memang telah mengemukakan permintaan kepada Interpol untuk mencari di mana orang yang telah dimaksudkan.
“Kita amat yakin pihak Interpol telah bertindak secara profesional dan PDRM masih belum memperolehi sebarang maklumat terperinci daripada pihak Interpol.
“Namun, kita yakin apa yang telah dilakukan beberapa pihak di peringkat antarabangsa, terutama agensi perisikan, telah dimuktamadkan.
“Dan kita yakin kes itu tidak lagi relevan, kecuali yang dibangkitkan oleh ahli-ahli politik yang tidak puas hati dengannya,” kata menteri dalam negeri itu menerusi sesi perbahasan soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan perdana menteri menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gombak yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang meminta polis menyatakan sama ada Malaysia meminta bantuan Interpol untuk mengesan ahli perniagaan itu yang lebih dikenali sebagai Jho Low bagi membantu siasatan melibatkan 1MDB.
Pada 17 November 2015, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan polis gagal mengesan kedudukan Jho Low kerana tiada siasatan polis atau permohonan daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol mengesan Jho Low.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, kementerian itu berkata, Interpol juga gagal mengesan 4 individu lain berkaitan isu 1MDB, termasuk bekas pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob.
Pada 12 Julai lalu, pendakwa raya di Singapura dilaporkan berkata, Jho Low ialah watak utama dalam siasatan berkaitan 1MDB dan beliau menggunakan wang yang boleh dikesan kepada dana milik kerajaan itu untuk tujuan peribadi.
Low menerima sejumlah wang yang “amat besar”, dengan kira-kira AS$1 bilion (RM4.3 bilion) untuk 1MDB laburkan dalam usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd dilencongkan ke akaun bank milik Low.
Pada 21 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, siasatan terhadap skandal 1MDB selesai selepas 3 bulan Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis menyiasat lebih lanjut mengenai isu itu.
Beliau berkata, tiada sebarang perkembangan baru untuk dimaklumkan setakat ini, kecuali ada arahan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Kabinet.