
Keputusan berkenaan menyaksikan skuad Tok Gajah mengutip 42 mata berbanding pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 49 mata.
Untuk rekod, JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super untuk musim ke-4 berturut-turut lebih awal pada aksi ke-19 liga, 5 Ogos lepas.
Pada aksi di Kuantan, Pahang berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan pembukaan D. Christie Jayaseelan pada minit ke-23 sebelum Mohamad Nasir Basharudin menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-78.
JDT pula mencatat keputusan seri menentang Kedah pada aksi ‘praperlawanan akhir Piala Malaysia’ di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November ini.
Felda United pula menamatkan saingan di tempat ketiga setelah mengatasi PKNS FC 4-2 di Stadium Shah Alam,
Pemain import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes muncul wira skuad ‘The Fighters’ apabila melakar jaringan hatrik pada minit ke-50, minit ke-73 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan serta gol daripada Zah Rahan Krangar pada penghujung babak perlawanan.
Dua gol pasukan PKNS FC disumbangkan oleh Shahrul Azhar Ture pada minit ke-23 dan Abdou Jammeh pada minit ke-90.
Turut meraih 3 mata adalah Selangor yang mengalahkan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Tiga gol skuad Gergasi Merah dijaringkan oleh Andik Vermansah pada minit ke-25, Rufino Segovia Del Burgo pada minit ke-50 dan minit ke-61 manakala pasukan tuan rumah berjaya meraih gol saguhati menerusi Muhd Jafri Muhd Firdaus Chew pada minit ke-48.
Dalam pada itu, Kelantan terselamat daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana, musim depan setelah menang selesa 3-1 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Pasukan tuan rumah, bagaimanapun, mendahului perlawanan menerusi jaringan pembukaan Nicholas Ryan Swirad pada minit ke-30 sebelum Kelantan bangkit meraih 3 gol hasil jaringan Abou Bakr Al Mel pada minit ke-74 dan 2 gol daripada Alessandro Padovani Celin pada minit ke-81 dan minit ke-87.
Sarawak pula sah mengiringi Pulau Pinang ke saingan Liga Perdana, musim depan setelah seri tanpa jaringan dengan T-Team di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.