Ambulans di Hospital Kulim cukup, kata pengarah kesihatan

Ambulans di Hospital Kulim cukup, kata pengarah kesihatan

Pengarah kesihatan Kedah menyangkal dakwaan Pengurus Program Teknikal Intel, Terence Gaspar yang ibunya terpaksa menunggu sejam untuk mendapatkan ambulans dari Hospital Kulim ke Pusat Kesihatan Lunas sejauh 12km.

Norhizan-Ismail-ambulan-kedah-hospital-kulim
PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Kedah hari ini menyangkal dakwaan Hospital Kulim tidak mempunyai ambulans mencukupi untuk kegunaan pesakit dalam kecemasan sehingga menyebabkan pesakit terpaksa menunggu sejam untuk ambulans dari hospital itu ke Pusat Kesihatan Lunas yang jaraknya hanya 12km.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, dakwaan itu tidak tepat kerana semua langkah wajar sudah diambil dan pihaknya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi kes kecemasan.

“Pada hari kejadian, daripada 8 ambulans, 6 berfungsi dan 5 daripadanya sedang digunakan dan 1 telah memberi respons kepada Klinik Kesihatan Lunas.

“Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kulim menerima panggilan kecemasan dan terus mengarahkan ambulans KV5730A untuk dilengkapkan dengan peralatan seperti dipohon pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lunas,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas dakwaan Pengurus Program Teknikal Intel, Terence Gaspar yang ibunya terpaksa menunggu sejam untuk ambulans dari Hospital Kulim tiba di Pusat Kesihatan Lunas yang jaraknya hanya 12km.

“Walaupun penjelasan diberikan Hospital Kulim mengenai kelewatan ambulans itu difahami kerana mahu menstabilkan ibu saya, tetapi ambulans yang digunakan adalah ‘backup’.

“Kerajaan belum memberi ambulans secukupnya. Saya meminta pejabat menteri kesihatan dan pegawai Biro Pengaduan memberi jawapan bilakah 4 ambulans akan diberikan kepada hospital ini? Ambulans yang sedia ada pun kebanyakannya tiada peralatan mencukupi.

“Saya tidak faham kenapa tiada peruntukan mencukupi untuk perkara yang kritikal ini. Pusat Kesihatan Lunas tiada ambulans. Kita mahu 1 ambulans di Pusat Kesihatan Lunas.”

Katanya, beliau membuat aduan melalui surat rasmi kepada Kementerian Kesihatan, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan dan beliau juga gagal menghubungi pejabat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

“Saya sangat kecewa sebab saya hanya ingin membantu pihak Hospital Kulim memperbaiki dan meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

“Sebelum saya buat aduan, hanya 3 sahaja ambulans yang ada di Hospital Kulim dan Pusat Kesihatan Lunas langsung tiada ambulans disediakan. Kita mahu pihak Kementerian Kesihatan beri penjelasan,” kata Terence kepada FMT.

Mengulas lanjut, Dr Norhizan berkata, ambulans Klinik Kesihatan Lunas rosak dan berstatus BER (Beyond Economic Repair) mulai awal 2017 dan masih menunggu penggantian.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, ambulans Klinik Kesihatan Padang Serai, Kulim dan Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim bertanggungjawab membantu perkhidmatan ambulans Klinik Kesihatan Lunas.

“Jarak kedua-dua klinik kesihatan ini adalah 15km dari Klinik Kesihatan Lunas, manakala jarak Hospital Kulim ke Klinik Kesihatan Lunas adalah 12km.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang menunggu bekalan ambulans baru dan gantian daripada Kementerian Kesihatan yang dijangka tiba pada awal 2018,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.