
Beliau memberitahu NST Online beliau mempunyai jadual padat untuk menghadiri beberapa program di Jempol, Seremban dan Port Dickson sejak beberapa hari lalu.
“Siapa kata saya larikan diri? Saya sibuk dengan pelbagai program,” katanya ketika menghadiri kempen Hari Pahlawan Teluk Kemang di Batu 4, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Isa ada mengulas isu pertukaran hak milik tanah itu.
Isa dilaporkan mengelak menemui wartawan yang menunggu beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Khamis lalu sekembalinya dari luar negara.
Beliau juga tidak menjawab panggilan mahupun mesej WhatsApp yang dihantar ke nombor telefon peribadinya.
Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil Isa bagi membantu siasatan itu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.
Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun 2017 serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013 sehingga Ogos 2017.