
Ongkili menjernihkan desas-desus SESB, yang dikatakan di ambang kemuflisan, akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri.
“Kita boleh bincang perkara itu jika kerajaan negeri sedia membayar aset SESB bernilai RM8 bilion dan menampung kos lain yang ditanggung anak syarikat Tenaga Nasional Berhad,” kata Ongkili pada sidang media hari ini.
“TNB sekarang ini memiliki 82.75% kepentingan dalam SESB sementara kepentingan lain milik kerajaan negeri.”
Menteri itu turut menjelaskan kenyataan berkenaan SESB sebelum ini bukan bererti syarikat itu akan muflis cuma mengalami situasi kewangan yang mencabar.
Beliau menegaskan aset RM8 bilion itu menunjukkan SESB masih kukuh.
Ongkili turut mengumumkan tarif eletrik di Sabah dan Labuan tidak akan berubah sehingga Jun tahun depan manakala tarif di Malaysia Barat tidak akan berubah selama 3 tahun mulai 1 Januari 2018.
Tarif untuk Sabah dan Labuan adalah 34.52 sen/kWh manakala Malaysia Barat 38.53 sen/kWh.
Ongkili berkata keputusan mengekalkan kadar semasa diputuskan mesyuarat jemaah menteri pada 13 Disember, dan kerajaan akan menyerap keseluruhan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWh dan surcaj 0.28 sen/kWh.
“Jumlah keseluruhan rebat tarif elektrik ialah sebanyak RM929.37 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018. Secara keseluruhannya, Kerajaan telah memberikan rebat berjumlah RM6.3 bilion kepada pengguna di Semenanjung bagi tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018,” katanya.
“Pengguna-pengguna di Sabah dan Labuan juga akan menikmati rebat tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj sepanjang tempoh tersebut.
“Dengan keputusan ini, pengguna-pengguna di Semenanjung tidak akan mengalami sebarang perubahan dalam bil elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018 sekiranya pengguna mengekalkan penggunaan elektrik sedia ada.”
Ongkili berkata tarif tetap tidak menjejaskan bekalan elektrik dan TNB sudah merancang beberapa program pembangunan bekalan elektrik berdasarkan kepada teknologi terkini bagi memastikan bekalan mampan.
Menteri menambah tarif di Sabah dan Labuan ditetapkan sehingga Jun kerana SESB tidak mengunapakai mekanisme kawal selia berasaskan insentif seperti yang digunakan TNB di Semenanjung.
“Kerajaan telah memberikan subsidi bahan api dan tarif sebanyak RM1.631 bilion bagi pengguna-pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018.”