Pemuda PH janji 1 juta peluang kerja, gaji minimum RM2,500

j-arul

SHAH ALAM: Pemuda Pakatan Harapan (PH) berikrar mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan buat anak muda dan menetapkan gaji minimum RM2,500 jika gabungan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Naib Ketua Pemuda PH, J Arul Kumar berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal melakukan sebarang transformasi ekonomi yang mampu membantu golongan muda, khasnya dari segi peluang pekerjaan.

“Kita anak muda penuh dengan potensi, tapi di bawah kerajaan BN, golongan seperti kami berdepan pelbagai isu, termasuk cabaran ekonomi,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Semalam, Pemuda PH berkata, mereka akan memperjuangkan 10 dasar untuk membantu generasi muda berdepan kenaikan kos sara hidup, jika PH memenangi PRU14.

Antaranya, penubuhan Dana Usahawan Belia untuk kawasan bandar dan luar bandar, Insentif Perkahwinan Belia RM500 bagi pasangan berusia 35 tahun ke bawah yang berkahwin pertama kali, menurunkan harga jalur lebar sebanyak 50% dan memastikan setiap kampung mempunyai akses telekomunikasi 4G.

PH juga bercadang memperkenalkan kad bulanan pengangkutan awam bernilai RM100, mengurangkan pekerja asing beransur-ansur, menubuhkan pusat pekerjaan di setiap negeri, menggabungkan badan perumahan berkanun sebagai badan perumahan berpatutan, berkualiti serta memperbanyakkan rumah mampu milik dan rumah sewa.

Mereka juga berjanji akan memberi lesen motosikal secara percuma, pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam dengan geran sara diri buat pelajar miskin dan sederhana, selain peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya perlu membuat pembayaran semula apabila gaji mereka mencecah RM4,000.

Mengulas lanjut, Arul berkata, peranan anak muda dalam PRU14 sangat penting kerana 40% daripada pengundi terdiri daripada golongan itu.

Katanya, PH perlu mendapatkan sokongan majoriti pengundi muda untuk menawan Putrajaya.

“Dalam Konvensyen Pemuda PH 2018, kita telah bergerak selangkah ke depan dengan melancarkan tawaran harapan anak muda yang merangkumi 5 teras utama.

“Dan ini merupakan usaha bagi membantu anak muda yang semakin tertekan hari ini. PH mampu membawa perubahan buat anak muda dalam tempoh 5 hingga 10 tahun, sekiranya dapat mengambil alih kerajaan selepas PRU14.”